Kolumnis@SPRM

Resolusi Tahun Baharu – Pemikiran Sihat ; Hapuskan Rasuah!


Oleh :
PKPj KAMARUDDIN M.RIPIN
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Tahun 2020 lalu secara langsung dan tidak langsung telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat sedunia akibat pandemik Covid- 19. Namun tahun 2021 diharapkan akan menjadi lebih positif bukan hanya dalam mengharungi cabaran fasa pemulihan akibat Covid-19 malah untuk merealisasikan matlamat dan harapan individu untuk menjadi lebih cemerlang yang dicorak sempena tahun baharu.

Setiap individu sudah tentu mempunyai azam dan matlamat tersendiri yang ditetapkan sebagai resolusi tahun baharu dengan harapan ia akan membawa fajar baharu dalam kehidupan. Di samping memberi keutamaan kepada matlamat peribadi, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara juga perlu diutamakan.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa yang hidup secara harmoni dan aman. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia hidup bersatu dengan mengetepikan perbezaan pendapat dan hanya meletakkan kemakmuran negara sebagai titik fokus.

Dari semasa ke semasa, negara berhadapan dengan pelbagai cabaran. Perpaduan dan inisiatif yang rakyat ambil untuk membangunkan negara terus mengekalkan kesejahteraan negara dan mengatur langkah ke arah kemajuan. Rasuah merupakan satu cabaran besar kepada negara. Tidak dinafikan Malaysia menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha sedaya upaya untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Tahun 2020 walaupun merupakan tahun mencabar bagi SPRM daripada segi pelaksanaan operasi dan tangkapan disebabkan pandemik Covid-19 namun beberapa siasatan kes berprofil tinggi barjaya dilakukan termasuk kes melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia menyaksikan keputusan kes. Kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pengarah syarikat, pegawai-pegawai kanan di kementerian dan beberapa lagi kes yang menarik perhatian umum juga berjaya didakwa di mahkamah.

Antara kes yang menarik perhatian umum termasuklah, penahanan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan kes rasuah projek terowong, penahanan seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) salah sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah bagi satu tender kementerian dan penahanan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di kementerian tersebut bernilai lebih RM56 juta.

Namun boleh dikatakan rasuah masih lagi tidak dapat dibanteras sepenuhnya. Ini mungkin disebabkan mentaliti masyarakat yang menggangap usaha pembanterasan rasuah hanya terletak di bahu SPRM sahaja. Rakyat beranggapan mereka hanya perlu menjadi pemerhati dan menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan terhadap isu rasuah dan siasatan serta prosiding mahkamah melibatkan kes terbabit.

Secara lebih terperinci, apabila timbul sahaja isu rasuah, semua orang akan menuding jari ke arah SPRM. SPRM merupakan sebuah agensi pencegahan rasuah dengan hanya lebih kurang dua ribu pegawai yang bertungkus lumus dalam menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat kesalahan rasuah di setiap pelusuk negara dan membawa pesalah tersebut ke muka pengadilan.

Hanya dengan sokongan dan kerjasama orang ramai kepada SPRM, negara dapat dibebaskan daripada cengkaman jenayah rasuah. Setiap individu perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing untuk membasmi rasuah. Niat dan usaha bersama seperti ini sahaja mampu melindungi negara daripada ancaman rasuah. Bagi membawa mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah ini ke muka pengadilan bukti-bukti kukuh yang diperoleh dengan kerjasama orang ramai perlu dilapor oleh penyiasat SPRM semasa proses pendakwaan.

Sekiranya setiap orang mula menyemai pemikiran seperti itu dalam diri mereka, perubahan individu ini akan lama kelamaan akan menjadi sebagai perubahan dalam masyarakat dan seterusnya perubahan seluruh negara. Perubahan ini pasti akan membolehkan negara menjadi lebih makmur dan bersedia mengharungi banyak cabaran di persada antarabangsa.

Sementara itu, rakyat harus mengubah corak pemikiran bahawa sekiranya melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan ia boleh ditutup dengan menyalurkan wang ringgit sebagai rasuah. Idea bahawa kita boleh mempengaruhi keputusan seseorang supaya memihak kepada kita dengan menyogok pembuat keputusan itu juga perlu diketepikan sepenuhnya. Inilah yang menyebabkan wujudnya budaya rasuah secara meluas. Seterusnya ia juga menjadi ancaman buruk kepada negara.

Seorang pegawai yang menjalankan tugasnya secara adil tidak perlu disogok untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Apa-apa tindakan yang dilakukan di bawah lunas undangundang dan mereka yang melakukannya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Masalah rasuah hanya timbul apabila seseorang itu cuba mengambil jalan pintas untuk melakukan sesuatu dengan hanya mementingkan diri sendiri.

Justeru, ketika kita menyambut tahun baharu ini dengan fikiran yang jernih dan hati yang murni, marilah kita terus membasmi penyakit sosial bernama rasuah dan meraikan tahun baharu ini dengan penuh gembira. Tahun baharu ini jadikan keazaman tinggi di setiap peringkat masyarakat untuk menolak apa sahaja perbuatan rasuah dan menjadikan ia sebagai budaya masyarakat Malaysia tidak bertoleransi dengan amalan jijik rasuah. Masyarakat bebas rasuah adalah masyarakat yang ideal dan seimbang. Negara yang bebas rasuah adalah negara yang makmur. 

Hit : 2449