Kolumnis@SPRM

Inovasi Tutup Ruang Rasuah


Oleh :
KPKPj NAZLI RASYID SULONG
Pengarah
Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KEMALANGAN di tempat kerja kerap kita dengar. Persoalan sering dibangkitkan, apa puncanya, terutama di sektor melibatkan penggunaan mesin dan jentera? Lebih malang, selain kecuaian, ada kemalangan akibat rasuah. Misalnya pada 2017, kita dikejutkan dengan kisah menyayat hati seorang remaja berusia 17 tahun yang menemui ajal akibat tersepit pada jurang antara lif barang dan siling di tempat kerjanya.Siasatan mendapati majikan remaja terbabit mengendalikan mesin angkat barang yang tidak mempunyai Perakuan Kelayakan (CF). Jadi, bagaimana mesin boleh beroperasi tanpa CF?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) mencadangkan beberapa penambahbaikan agar ruang dan peluang rasuah serta salah guna kuasa dapat ditutup dalam proses pendaftaran dan pemeriksaan jentera dan kilang oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Hasil pemeriksaan SPRM mendapati, urusan pendaftaran kilang dan jentera antara Prosedur Kerja Sistem Pengurusan Kualiti Dokumen PK-01 dengan Sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MyKKP) bagi urusan pengeluaran Surat Tolak adalah tidak selaras. Surat Tolak merupakan dokumen yang dikeluarkan oleh pemeriksa JKKP selepas mendapati wujudnya ketidakpatuhan dalam permohonan Kebenaran Memasang Jentera setelah melakukan lawatan awal. Bagaimanapun, proses pengeluaran surat berkenaan tidak perlu melalui Ketua Seksyen atau Timbalan Pengarah. Perkara ini boleh menyebabkan pegawai pemeriksa JPPK yang tidak berintegriti mengambil kesempatan menangguk di air keruh.

Sehubungan itu, SPRM berpendapat, penyelarasan terhadap MyKKP perlu dibuat dengan mewajibkan keputusan atau surat yang diedarkan kepada pemohon perlu melalui Ketua Seksyen atau Timbalan Pengarah bagi mewujudkan elemen ketelusan serta semak dan imbang. JPPK membuat penyelarasan terhadap sistem tersebut serta mewujudkan elemen pemantauan tanpa kos ke atas proses kerja pengeluaran Surat Tolak dalam sistem MyKKP sedia ada. Melalui penambahbaikan tersebut, Ketua Seksyen dan Timbalan Pengarah akan dimaklumkan melalui e-mel bagi setiap pengeluaran ' Surat Tolak' oleh pegawai seliaannya. JKKP juga memaklumkan, melalui penambahbaikan tersebut, pemantauan terus ke atas pegawai JPPK adalah lebih mudah dan pengesanan terhadap sesuatu isu boleh dibuat dengan cepat.

Dalam pada itu, kelemahan dalam pengurusan bagi pembatalan Notis Perbaikan dan Notis Larangan di bawah Seksyen 48, 49 dan 50 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994(AKKP) turut dikenal pasti. Hasil semakan SPRM juga mendapati, pembatalan notis dikeluarkan oleh pegawai tidak dirujuk kepada penyelia iaitu Ketua Seksyen atau Timbalan Pengarah terlebih dahulu. Sebaliknya dilakukan oleh pegawai sama yang mengeluarkan notis yang mana rujukan kepada Ketua Seksyen hanya akan dibuat sekiranya perlu. Ini jelas menunjukkan pegawai pemeriksa berkenaan mempunyai kuasa sangat besar dalam meluluskan permohonan berkaitan.

Bagi mengelak berlaku penompokan kuasa oleh pegawai, penambahbaikan dilakukan yang mana setiap pembatalan Notis Perbaikan dan Notis Larangan di bawah Seksyen 48, 49 dan 50 AKKP wajib dilaporkan kepada penyelia bagi mewujudkan elemen semak dan imbang, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam proses pengeluaran dan pembatalan notis.

Sehubungan itu, JKKP membuat penambahbaikan ke atas dokumen prosedur kualiti iaitu PK-05: Pengurusan Notis,Kompaun, Pendakwaan dan Rayuan dengan mewujudkan elemen semak dan imbang dalam proses pembatalan notis oleh pegawai JPPK. Melalui sistem sama, penyelia akan mendapat notifikasi melalui e-mel bagi setiap pembatalan notis dikeluarkan oleh pemeriksa JKKP. Melalui penambahbaikan ini, penyelia JKKP dapat memantau setiap pembatalan Notis Perbaikan JKKP 3 (NOI) dan Notis Larangan JKKP 2 (NOP) dengan lebih mudah. Ini kerana elemen pemantauan sangat penting bagi memastikan setiap pemeriksa JKKP sentiasa mengamalkan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

Selain pemantauan menerusi notifikasi e-mel, JKKP negeri turut bertindak proaktif memperkenalkan cap khusus ke atas notis sebagai bukti proses semak dan imbang telah dijalankan, selain menurunkan tandatangan ke atas notis berkenaan. Bagi memastikan keberkesanan secara menyeluruh, inovasi tersebut kini turut diperluaskan ke seluruh cawangan dan negeri. Selain itu, isu kekangan jumlah anggota pemeriksa JKKP serta bebanan tugas menyebabkan proses pemeriksaan terpaksa dijalankan secara bersendirian berdasarkan permohonan pendaftaran kilang dan jentera. Buktinya pada 2017, JKKP hanya mempunyai 893 pegawai teknikal iaitu Pemeriksa Kilang dan Jentera di seluruh negara berbanding 78,800 jumlah permohonan.

Tindakan-tindakan pencegahan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh JKKP sedikit sebanyak membuahkan hasil pada tahun-tahun berikutnya. Berdasarkan data Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM, terdapat penurunan ketara pada 2019 berhubung penerimaan maklumat rasuah yang melibatkan pegawai JKKP. Bagi 2015 dan 2016, sebanyak dua maklumat rasuah diterima berkaitan JKKP. Jumlah tersebut meningkat secara mendadak pada 2017 dengan 13 maklumat rasuah diterima. Bagi 2018 dan 2019 pula, jumlah tersebut mula menunjukkan penurunan iaitu masing-masing sembilan dan dan tiga maklumat rasuah diterima. Untuk 2020, hanya satu maklumat rasuah berkaitan JKKP diterima.

Ini jelas membuktikan kewujudan elemen semak dan imbang serta amalan integriti tinggi dalam pemeriksaan mampu mengelak aktiviti rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama, perkara tersebut juga mencerminkan pemeriksaan berintegriti adalah penting dalam memastikan organisasi mematuhi undang-undang ditetapkan oleh kerajaan, selain menjamin keselamatan serta kesihatan pekerja yang berkhidmat di bawah organisasi berkenaan.

Sumber : Utusan Malaysia (7 Januari 2021)

Hit : 2063