Kolumnis@SPRM

Ucapan Tahun Baharu Ketua Pesuruhjaya SPRM



Oleh :
DATUK SERI AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhdan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat AllahS.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat lagi kita bersemuka hingga penghujung tahun 2020.

Dengan rahmat Yang Maha Esa jua, maka kita telahpun melangkah ke tahun 2021. Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia.

Sebelum itu, izinkan saya mengimbau sedikit apa yang berlaku sepanjang tahun 2020 agar apa yang baik boleh dijadikan teladan, manakala apa yang terkurang pula dijadikan  pedoman agar kita dapat mengatur langkah yang lebih baik di masa hadapan.

Sepanjang tahun, tempoh 2020 menyaksikan SPRM sentiasa menjadi tumpuan media massa dan masyarakat melibatkan pelbagai perkara antaranya pertukaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat ataupun Seksyen 17A Akta SPRM2009  membabitkan organisasi komersial dibawah undang-undang berkenaan serta kes-kes yang berprofil tinggi.

Tahun 2020 merupakan tahun penuh dengan cabaran buat kita semua. Kita berdepan dengan krisis kesihatan akibat wabak Covid-19 yangtidak pernah kita jangkakan dan krisis ini telah mengubah kehidupan kita kerana berhadapan dengan situasi yang amat-amat berbeza serta belum pernah kita lalui sebelum ini.

Namun begitu, Alhamdulillah, saya kira, SPRM berjaya melaksanakan segala perancangan yang dirangkakan pada tahun sebelumnya di samping menyesuaikan perancangan tersebut mengikut situasi semasa serta isu-isu luar jangka kita.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semuawarga SPRM dari Sektor Operasi, Sektor Pencegahan dan Sektor Pengurusan &Profesionalisme yang bertungkus lumus dalam usaha menyokong aktiviti membanteras rasuah berimpak tinggi dan berkesan.

Ketika berhadapan dengan situasi Pandemik Covid-19, tidak dapat dinafikan bahawa SPRM menghadapi banyak kekangan dan cabaran khususnya dalam melaksanakan tugas-tugas siasatan kerana pegawai bukan sahaja terdedah kepada virus itu,  malah berdepan dengan kekangan seperti menjalankan operasi, mengesan saksi serta kes-kes pertuduhan di mahkamah.

Namun begitu, pegawai kita tetap menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik tanpa mengira penat lelah dan semangat ini wajar diteruskan serta dipertahankan.

Di sini kita boleh lihat bahawa, sumbangan daripada aktiviti pendidikan masyarakat dan juga sektor pencegahan tidak kurang hebatnya, dalam menyumbang kepada pencegahan rasuah secara berkesan. Jadi,rakyat akan melihat kepada bagaimana peranan SPRM dalam semua sektor, baikoperasi, pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Saya juga amat menghargai dan menyanjungi usaha pendidikan antirasuah yang dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan baharu dalam menyebarluaskan mesej antirasuah tanpa melibatkan aktiviti komuniti besar. Antaranya, sebagai contoh pelancaran program SPRM PUBG (Player Unknown Battle Ground) Mobile i-Challenge dan memasukkan elemen antirasuah ke dalam buku teks sekolah rendah, sekolah menengah selain menawarkan kursus integriti dan rasuah diperingkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah memberi impak besar kepada kumpulan sasar.

Bagi menangani isu-isu rasuah serta ketirisan dalam sektor awam dan swasta, SPRM juga bertindak sebagai penasihat dengan menempatkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di pelbagai kementerian dan agensi luar. Selain itu, SPRM juga menyediakan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah(CRM) dan mewujudkan portal Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) bagi memudahkan syarikat-syarikat korporat melaksanakan inisiatif antirasuah dalam organisasi masing-masing.

Selain itu juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada warga SPRM yang berjaya dalam usaha meningkatkan kemahiran, keupayaandan kompetensi kakitangan selain mencapai tahap cemerlang daripada segi prestasi pengurusan kewangan dan keselamatan. Kita mencapai KPI pengurusan kewangan yang cemerlang pada tahun 2020 iaitu melebihi 99 peratus. Prestasi iniperlu dikekalkan pada tahun 2021

Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dari tahun 2019-2023 yang menggariskan 115 inisiatif antirasuah bagi enam sektor berisiko dan SPRM merupakan agensi peneraju bagi 11 inisiatif serta agensi sokongan (supporting role) bagi 22 inisiatif lain dalam pelan tersebut.

Maka di sini kita boleh lihat, tugas kita makin mencabar kerana selain daripada ketiga-tiga sektor iaitu operasi, pencegahan dan pendidikan masyarakat, dalam hal pelaksanaan NACP ini, SPRM perlu membantubanyak agensi-agensi kerajaan, kementerian serta sektor yang berkaitan dengan kerajaan bagi pelaksanaan NACP ini secara lebih berkesan dan jugabersistematik.

Di sini juga menunjukkan bahawa, kita jugaterlibat dalam membentuk dan membantu kerajaan mewujudkan tadbir urus yang baik dalam agensi dan jabatan kerajaan ataupun negara.

Bagi tahun2021, kita masih meneruskan fokus sama seperti ditetapkan yang mana cabaran bakal dihadapi akan lebih getir dan rumit lagi. Sehubungan itu, strategi kita dijangka akan diperkemaskan lagi.

Harus diingatkan bahawa prestasi SPRM sering diukur dan dinilai oleh masyarakat darisemasa ke semasa. Justeru itu, kita perlu peka kepada isu-isu semasa supaya persepsi masyarakat kepada SPRM adalah positif.

Masyarakat boleh menilai tindakan-tindakan yang telah diambil kerana sekarang ini, SPRM bukan sahaja satu bentuk agensi yang hanya menjalankan tindakan penguatkuasaan.Namun demikian, sumbangan kita ke arah untuk mewujudkan

Sehubungan dengan itu, kita perlu memperkemaskan ilmu dan pengetahuan kita dalam semuaketiga-tiga sektor, baik di peringkat operasi, pendidikan masyarakat dan juga pencegahan. Inilah cabaran yang perlu kita hadapi pada tahun 2021 nanti.

Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tanggungjawab saya ialah memastikan hasrat dan aspirasi organisasi tercapai, sejajar dengan visi dan misi yang telah ditetapkan dalam melaksanakan amanah rakyat ini.

Oleh itu, saya amat memerlukan sokongan penuh daripada setiap warga SPRM atassemangat esprit de corps yang akan menjadi tunggak kita mencapai objektif dan juga aspirasi organisasi.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, saya berharap warga SPRM bersiap sedia daripelbagai bidang terutamanya meningkatkan ilmu, kemahiran dan prestasi bagi merangka strategi yang lebih berkesan dalam memerangi jenayah rasuah, sekaligus menjadikan suruhanjaya ini sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah terunggul yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga SPRM yang memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya menerajui suruhanjaya ini kerana tanpa sokongan secara keseluruhan yang diberikan, saya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna.

Insyaallah dengan izin Allah S.W.T, pada tahun 2021, kita akan lebih berjaya berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Dikesempatan ini juga, saya dan isteri saya selaku Pengerusi Puspanita SPRM mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua warga SPRM dan semoga kita terus cemerlang dalam kerjaya di samping mengimbangi tanggungjawab kita terhadap keluarga.

Sekian, wabillahittaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hit : 5621