Kolumnis@SPRM

'You'll Never Walk Alone' (YNWA) Dalam Mencegah Rasuah


Oleh :
DATO’ SHAMSHUN BAHARIN BIN MOHD JAMIL
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Sedar tak sedar, semakin hari semakin jauh kita melangkah memasuki 2019. Bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua bulan pertama ini masih seperti tahun-tahun sebelumnya, terus mendendangkan berita-berita 'panas' penahanan dan pendakwaan berhubung kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Seolah-olah tiada surutnya.

Sekadar mengulangi apa yang orang ramai sudah tahu, rasuah ketika ini masih menjalar dari organisasi ke organisasi, syarikat ke syarikat hinggalah ke lorong-lorong belakang. Jenayah ini sering membabitkan pegawai-pegawai dari bawah sehingga ke atas. Itulah realitinya.

Dalam soal pencegahan rasuah pula, tidak keterlaluan jika saya luahkan soalan 'apa lagi yang kita belum lakukan?'.

Jika diimbau lebih 30 tahun dahulu, kerajaan pernah memperkenalkan Dasar 'Pandang ke Timur' pada 1982 bertujuan mendidik rakyat Malaysia khususnya penjawat awam agar mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun.

Masyarakat Jepun ketika itu telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan integritinya. Sejak itu, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi.

Namun entah di mana silapnya, selepas lebih tiga dekad, apa yang ingin dicapai seolah-olah tidak membuahkan hasil.

Lihat saja di Facebook dan YouTube, masih banyak ditularkan gambar atau video berkaitan penumpang LRT tidak memberi tempat duduk kepada wanita mengandung atau orang tua. Ini adalah soal integriti dan nilai murni.

Jika kita melihat dari satu sudut lain, perkara semudah itu pun mereka abaikan, jadi adakah orang yang bersikap sedemikian akan peduli hal kempen mencegah rasuah?

Kini, kerajaan kembali tekad memulakan agenda antirasuah nasional bermatlamatkan 'negara dikenali kerana integriti dan bukan kerana rasuah'.
Pada 29 Januari lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sejajar usaha merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Pelbagai inisiatif termasuk aspek pencegahan diperkenalkan. Misalnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju memantapkan lagi kerjasama strategik dengan SPRM bagi memperkukuhkan elemen integriti dan antirasuah dalam sistem pendidikan negara.

Perkara ini dilakukan bagi membentuk jati diri pelajar bermula di peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dengan kerjasama SPRM juga telah melancarkan sistem piawaian dikenali Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management Systems (ABMS).

Sistem piawaian ini adalah untuk memberi panduan serta membantu untuk menambahbaik sistem pengurusan antirasuah dalam sesebuah organisasi sekali gus menjadi satu panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak.

Kerajaan juga memperkenalkan peraturan perisytiharan harta bagi memastikan Ahli Parlimen berintegriti dan tidak terbabit rasuah. Buat masa ini, SPRM hanya sebagai pelaksana dan ia masih belum dimaktubkan dalam Akta SPRM 2009.

Bukan itu saja, Akta SPRM 2009 turut dimantapkan, undang-undang baharu Seksyen 17A Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial diperkenalkan.

Peruntukan ini juga dikenali sebagai ‘liabiliti korporat’. Melalui Seksyen 17A Akta SPRM 2009, organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau kakitangannya terlibat dengan jenayah rasuah.

Itu baru beberapa perkara yang disebut, masih banyak lagi perkara lain yang telah dan akan diperkenalkan dalam usaha mencegah rasuah.
Namun kita perlu ambil iktibar, segala inisiatif mahupun agenda seumpama ini tidak akan membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan daripada pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras.

Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat.
Inilah masa dan peluang bagi rakyat untuk kembali memperbetulkan keadaan dan yang paling penting ialah keterlibatan dan kebersamaan dalam usaha tersebut.

Agenda seumpama ini tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada SPRM atau mana-mana agensi lain berkaitan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sahaja. Ia perlu disambut baik oleh semua pihak.

Dalam hal ini, saya menyarankan agar kita mengambil semangat pasukan bola sepak Liverpool, “You’ll Never Walk Alone” yang menitikberatkan kebersamaan, kesatuan dan persahabatan. Walaupun pasukan lain juga ada budaya sebegitu, tetapi bagi saya tidak mampu menyaingi Liverpool.
Berbalik kepada isu kebersamaan ini, mesej jelasnya ialah semua pihak perlu tekad bersatu hati. Setiap yang dilaksanakan oleh kerajaan perlu dipandang serius oleh rakyat.

Pada masa sama, saya juga berbesar hati sekiranya semua pihak terlibat tidak 'berkira' dalam soal memberi bajet kepada agensi-agensi untuk melakukan kerja-kerja pencegahan rasuah.

Selain itu, sudah sampai masanya juga, kerajaan mendedahkan kepada rakyat hasil-hasil kajian isu rasuah daripada universiti tempatan atau mana-mana agensi-agensi sejak puluhan tahun dulu yang dapatannya mungkin memeranjatkan kita semua.

InsyaAllah kita semua pasti temukan dengan apa yang kita hajati dan usahakan, maka akan jadilah Malaysia sebagai negara yang terkenal dengan integriti rakyatnya dan bersih rasuah.
Hit : 3671