Kolumnis@SPRM

Hentikan Gelombang Rasuah Semasa, Pasca PKP


Oleh :
PKPj KAMARUDDIN M.RIPIN
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

WALAUPUN negara sedang dilanda krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini, namun isu rasuah tidak pernah sunyi diperkatakan. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa bermula 18 Mac lalu, ada saja isu rasuah yang muncul menjadi tajuk berita utama di media.

Malah, dalam titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020, baginda turut menyentuh isu rasuah.

Baginda berpesan, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan amalan rasuah.

Begitulah gambaran mengenai isu rasuah di negara ini yang seolah-olah tiada redanya hingga mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan bahawa telah menerima sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dalam tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga 21 April lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM juga telah menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

Manakala dalam kes kedua pula, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran.

Berdasarkan kedua-dua kes ini, jelaslah bahawa perbuatan jenayah atau perlanggaran undang-undang termasuk rasuah tetap akan berlaku dalam apa jua keadaan atau bentuk kawalan yang dilaksanakan.

Namun begitu, apa yang mencuri tumpuan ialah berkaitan data yang dikeluarkan SPRM tersebut, jumlah 286 maklumat dalam tempoh 35 hari waktu PKP itu bukanlah satu jumlah kecil.

Jika diperincikan, secara purata dianggarkan terdapat sembilan maklumat diterima dalam sehari, manakala selang sehari pula terdapat satu aduan berkaitan rasuah.

Demi kepentingan rakyat, pegawai SPRM perlu menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas, bahkan sekiranya menangguhkan proses tersebut ia bakal menambah beban menjelang pasca PKP nanti.

Apa tidaknya, ramai pakar yang menjangkakan bilangan kadar jenayah termasuk rasuah akan meningkat akibat desakan hidup di setiap lapisan golongan rakyat pada pasca PKP nanti.

Memetik satu laporan media baru-baru ini, syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia, Green Zebras yang melakukan Kaji Selidik Persepsi Rakyat Malaysia Tentang Rokok dan Vape mendapati seramai 93% responden cenderung untuk beralih kepada rokok seludup berikutan duti eksais yang tinggi.

Pengarah Urusan Green Zebras, Steve Murphy menjelaskan, perkara tersebut berlaku kerana pendapatan rakyat Malaysia terkesan akibat pandemik Covid-19 dan PKP. Apabila pendapatan mula menyusut, permintaan untuk produk pasaran gelap yang lebih murah dijangka akan meningkat.

Berdasarkan dapatan ini, maka jangkaan peningkatan jenayah yang mendorong kepada perbuatan rasuah memang mempunyai asas khususnya dalam kalangan sektor penguatkuasaan.

Namun apa yang lebih penting pada pasca PKP nanti, rakyat dan SPRM perlu saling bekerjasama membantu negara untuk meningkatkan ekonomi dengan mengurangkan ketirisan demi menyelamatkan harta negara daripada dilesapkan oleh penjenayah-penjenayah rasuah yang rakus. Jangan takut melaporkan rasuah kerana identiti pelapor dilindungi undang-undang

Dalam pada itu, memahami tugas utama kerajaan ketika ini ialah untuk menamatkan wabak Covid-19 dengan kadar segera bagi membolehkan masyarakat kembali dengan kehidupan normal sekali gus memulihkan ekonomi, namun isu-isu rasuah yang timbul dalam tempoh ini, seharusnya turut diberi keutamaan.

Sebagaimana kita berperang memutuskan rantaian wabak Covid-19, begitulah juga seharusnya kita memutuskan rantaian rasuah. Hentikan gelombang rasuah semasa dan pasca PKP.

Hit : 2684