• Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR

    Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR

    Agrobank muncul sebagai institusi pembangunan kewangan pertama yang menyahut inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Philea Resort & Spa, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

    Majlis melafaz dan menandatangani IBR yang bermula pada pukul 10 pagi tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Agrobank, Mad. Yusof Yazid dan disaksikan oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

    Turut menandatangani IBR tersebut ialah vendor-vendor utama Agrobank dalam majlis yang sama.

    Hadir bersama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato' Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman.

    Shamshun Baharin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, penglibatan warga kerja Agrobank dalam majlis berkenaan jelas mencerminkan komitmen yang diberikan bagi memastikan institusi tersebut dan negara ini bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

    "Agrobank sebagai sebuah bank milik kerajaan di bawah naungan Kementerian Kewangan telah mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan mengambil inisiatif sebagai perintis, iaitu sebagai institusi pembangunan kewangan pertama yang menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Tindakan para kepimpinan Agrobank dan warganya untuk menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan institusi ini untuk mewujudkan sebuah persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah supaya tanggungjawab dan amanah Agrobank kepada rakyat, khususnya komuniti pertanian dapat dilaksanakan dengan baik," ujarnya.

    Tambah beliau, aspirasi dan kesedaran tersebut patut dipuji dan harus menjadi contoh kepada institusi-institusi kewangan lain di seluruh negara untuk sama-sama memerangi rasuah bersama SPRM.

    Majlis yang diadakan sempena Agrobank Managers Convention 2017tersebut dihadiri kira-kira 255 warga kerja Agrobank, termasuk pengurusan tertinggi institusi berkenaan.

    IBR merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan berkenaan.

    Jelas Shamshun, menerusi IBR yang dimeterai antara Agrobank dan SPRM, diharapkan ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa secara berterusan.

    "Menerusi inisiatif program IBR ini juga, saya berharap SPRM dan Agrobank akan terus meraihkepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat secara berterusan dan kekal istiqamah dalammelaksanakan amanah dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    MELAKA

    26 FEBRUARI 2017

     Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR PDF
  • Najib Dipanggil Rakam Kenyataan Dan Akan Didakwa Bawah AMLATFPUAA Esok

    Najib Dipanggil Rakam Kenyataan Dan Akan Didakwa Bawah AMLATFPUAA Esok

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak bagi membantu siasatan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, petang ini.

    Beliau hadir kira-kira pukul 5 petang dan dirakam percakapan selama 45 minit.

    Mohd. Najib juga akan dituduh pada 8 Ogos 2018 di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Pertuduhan adalah berkaitan kes SRC International.

    Pertuduhan tersebut dibuat selepas mendapat keizinan daripada Peguam Negara.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    7 OGOS 2018

     Najib Dipanggil Rakam Kenyataan Dan Akan Didakwa Bawah AMLATFPUAA Esok PDF
  • Najib Razak Ditahan SPRM Untuk Pendakwaan Lagi

    Najib Razak Ditahan SPRM Untuk Pendakwaan Lagi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak berhubung kes yang menarik perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa iaitu kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

    Penahanan itu dibuat pada petang ini jam 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Mohd. Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara. Mohd. Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September 2018, jam 3.00 petang untuk pertuduhan di mahkamah.

    SPRM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Mohd. Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    19 SEPTEMBER 2018

     Najib Razak Ditahan SPRM Untuk Pendakwaan Lagi PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
13
Semalam
52
Minggu Ini
224
Bulan Ini
65

Keseluruhan
3444885