CIP Diberi Nafas Baharu Dengan Strategi Yang Lebih Signifikan

 

PUTRAJAYA, 9 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan Ikrar Integriti Korporat atau Corporate Intergrity Pledge (CIP) sebagai satu langkah efektif dalam usaha pencegahan rasuah melibatkan organisasi ataupun syarikat.

Inisiatif di bawah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) ini juga dilihat sebagai persediaan awal bagi organisasi komersial untuk melaksanakan undang-undang mengenai Liabiliti Korporat (Corporate Liability) dalam memastikan organisasi atau syarikat bebas daripada gejala rasuah.

Undang-undang tersebut memerlukan syarikat untuk memastikan tatacara mencukupi bagi membudayakan integriti dalam usaha pencegahan rasuah.

Majlis ‘Soft Launch’ CIP yang berlangsung di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM hari ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Dato’ Shamshun Baharin ketika menyampaikan ucapan berkata, program CIP merupakan tools yang dilaksanakan secara sukarela yang membantu organisasi atau syarikat melalui polisi-polisi pencegahan rasuah bersesuaian yang disyorkan oleh SPRM untuk sektor swasta.

“CIP dirangka bagi membantu organisasi dan syarikat swasta mewujudkan strategi yang lebih sistematik dan membuktikan komitmen syarikat swasta terhadap pelaksanaan sistem pengurusan pencegahan rasuah.

Malah, program ini adalah fleksibel dan boleh disesuaikan dengan pelbagai kategori organisasi dan syarikat dalam negara”, ujar beliau.

Tambah beliau, keberkesanan usaha ini adalah tertakluk kepada komitmen dan kesungguhan organisasi dan syarikat dalam melaksanakan kesemua inisiatif yang telah ditetapkan di samping menilai, memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan secara berkala.

Pada majlis tersebut, dua taklimat telah disampaikan iaitu Pengenalan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 iaitu Kesalahan oleh Organisasi Komersial oleh PKPj Mohamad Khairol Mohamad dan CIP oleh KPKPj Salwa Muharam.

Turut hadir Pengarah BPMP, Datuk Abd. Aziz Aban, Director Sustainability, Bursa Malaysia, Emilia Tee Yoke Hoong serta Eksekutif Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohamad Zainal Abidin Ahmad, enam wakil Portal Corporate Integriti System Malaysia serta 46 peserta dari 30 syarikat terpilih.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
41
Semalam
48
Minggu Ini
293
Bulan Ini
1048

Keseluruhan
3418518