IBR Tingkat Kebertanggungjawaban Ahli MMK Negeri Sembilan

SEREMBAN 30 Jan. - Inisiatif melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan dilihat mampu meningkatkan kebertanggungjawaban golongan pemimpin dalam melaksanakan tugas serta meningkatkan kesedaran mereka agar menjauhi perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, usaha membanteras rasuah merupakan kerjasama semua pihak bagi memastikan jenayah rasuah dibendung secara menyeluruh.
 
“Pujian harus diberikan kepada kepimpinan MMK Negeri Sembilan yang menyahut seruan kerajaan pusat untuk memerangi jenayah rasuah dalam memperkasakan sistem tadbir urus kerajaan negeri.
 
“Komitmen tersebut jelas terbukti apabila kerajaan negeri berusaha memupuk budaya integriti dalam kalangan warga pentadbiran negeri bagi memperkukuhkan lagi asas kemajuan negeri ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis lafaz dan menandatangani IBR bersama Menteri Besar dan ahli MMK negeri di Bilik Gerakan, Wisma Negeri, di sini, hari ini.
 
Dalam majlis tersebut, seramai 11 ahli MMK dan tiga ahli rasmi MMK melafazkan IBR yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sambil disaksikan oleh Shamshun Baharin.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah SPRM negeri, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik.
 
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, IBR bukan setakat memberi kesedaran dalam nilai akauntabiliti dan integriti kepada golongan pemimpin malah mampu meningkatkan sistem pencapaian perkhidmatan ahli MMK ketika melaksanakan tugas.
 
“Sebagai pemimpin negeri, kita tidak seharusnya melepaskan peluang ini untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian negeri kerana perbuatan rasuah bukan sahaja melanggar undang-undang malah bercanggah dengan ajaran agama.
 
"Saya percaya dan yakin dengan adanya budaya yang sihat tanpa budaya rasuah, Negeri Sembilan akan menjadi contoh terbaik kepada negeri lain di negara ini,” jelasnya.
Hit: 572