KUALA LUMPUR, 20 Disember 2018 – Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerima kesemua 16 syor Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) SPRM dalam memantapkan struktur tadbir urus dan kawalan dalaman berhubung proses pelaburan terutamanya dalam isu penternakan Ikan Sturgeon.

Keputusan ini dicapai sebulat suara berikutan sesi Khidmat Nasihat oleh BPMP di Menara FELDA pada 18 Disember 2018 yang merujuk kepada isu pelaburan penternakan Ikan Sturgeon yang dilaksanakan oleh FELDA pada tahun 2013 yang mengakibatkan ketirisan sebanyak RM47.6 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Pengarah Besar FELDA Dato’ Dr. Othman Omar telah menandatangani Laporan Khidmat Nasihat dengan disaksikan oleh Pengerusi FELDA Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor sebagai tanda persetujuan terhadap kesemua syor penambahbaikan.

Sesi Khidmat Nasihat ini - yang turut dihadiri oleh Pengarah BPMP Datuk Abd Aziz Aban, pegawai-pegawai Cawangan C Sektor Pemeriksaan dan Perundingan BPMP, Ketua Unit Integriti FELDA Dato’ Norazlan Mohd. Razali serta pengurusan kanan FELDA - telah dibentangkan oleh PKPj Zakiah Hassan.

Antara penambahbaikan yang dicadangkan adalah pemerkasaan dasar dan garis panduan pelaburan di FELDA dengan memberi penekanan kewajipan pelaksanaan ”feasibility study” dan ”due diligence” secara menyeluruh sebelum kelulusan pelaburan dibuat.

Pihak FELDA juga disarankan untuk mewujudkan Piagam Lembaga Pengarah FELDA yang menggariskan tanggungjawab fidusiari dan fungsi Lembaga Pengarah sebagai ”oversight body” bagi memastikan pentadbiran FELDA dilaksanakan dengan cekap, ekonomik dan menjaga kepentingan FELDA.

Malah, pihak FELDA perlu mengkaji Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) berkaitan pengawasan aktiviti anak syarikat, pemakaian peruntukan Seksyen 21 Akta FELDA tidak dihadkan kepada Pengerusi sahaja, keseimbangan komposisi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) serta larangan lantikan ALP dari kalangan Ahli Politik.

Penambahbaikan terhadap tadbir urus Felda melalui Kertas Putih oleh Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi (MEA) turut dibincangkan yang mana terdapat beberapa penambahbaikan rentetan daripada pemeriksaan terhadap isu FELDA yang dijalankan. Dijangka hasil Kertas Putih akan dibentangkan dalam Sesi Pertama Parlimen tahun 2019.

Dato’ Shamshun Baharin berkata, peruntukan Liabiliti Korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM (Pindaan) 2018 yang telah diluluskan pada April 2018 akan memberikan implikasi kepada mana-mana syarikat termasuk anak-anak syarikat FELDA yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Garis Panduan Tatacara Mencukupi yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 10 Disember 2018 memberi panduan kepada organisasi komersil untuk membangunkan “adequate measures” berhubung apa-apa polisi, prosedur dan langkah kawalan berkaitan anti-rasuah yang bersesuaian bagi mencegah berlakunya rasuah dalam aktiviti perniagaan dan juga menjadi suatu pembelaan sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutu organisasi melakukan rasuah,” katanya.

Tambah beliau, kes anak syarikat FELDA iaitu Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) berhubung pembelian hotel di Kuching, Sarawak dan London, United Kingdom telah dibawa ke Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang mana salah satu keputusan dalam Jawatankuasa berkenaan menyatakan bahawa tiada lagi lantikan Ahli Politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, khidmat nasihat kepada FIC telah diberikan sebelum ini melibatkan isu yang serupa dengan FELDA iaitu kelemahan dalam proses pelaburan.

Pengerusi Lembaga Pengarah FIC ketika itu Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim bersetuju terhadap kesemua 15 syor penambahbaikan yang dikemukakan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah FIC Bil. 8 Tahun 2018 di Balai Felda, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2018.

Kesinambungan daripada isu-isu yang berlaku melibatkan FELDA, suatu Kertas Putih telah disediakan oleh Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi (MEA) yang bertujuan menambahbaik tadbir urus FELDA yang dijangka dibentang dalam sesi pertama Parlimen tahun 2019.

Tan Sri Megat Zaharuddin turut mengalu-alukan pandangan dan nasihat SPRM serta memberi komitmen penuh dalam memperkukuh tadbir urus FELDA dan anak syarikat dengan membangunkan polisi-polisi anti-rasuah yang komprehensif serta Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) yang disarankan oleh SPRM selain menyuarakan hasrat untuk melaksanakan ISO 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS).

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
50
Semalam
119
Minggu Ini
169
Bulan Ini
2518

Keseluruhan
3413082