KUANTAN, 04 September 2012- Satu sesi Perbincangan Meja Bulat (PMB) di antara SPRM Pahang, PDRM, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Timur telah diadakan di Ibu Pejabat MPK bagi membincangkan isu pusat judi siber yang berleluasa dalam daerah Kuantan.

Sesi kali ini membincangkan tentang isu penyelarasan tindakan terhadap pusat judi siber yang ada. Berdasarkan rekod, walaupun lebih daripada 2,000 buah premis telah diambil tindakan sepanjang tahun ini (sehingga Ogos 2012), namun masih banyak premis yang bergiat aktif . Pelbagai tindakan undang-undang telah diambil tetapi tidak menampakkan sebarang kesan.

Pengarah SPRM Pahang, KPKPj. Moh. Samsudin bin Yusof dalam ucapannya menjelaskan bahawa penglibatan SPRM Pahang dalam perbincangan ini adalah relevan kerana kerapkali aduan diterima daripada masyarakat awam yang menuduh agensi penguatkuasa tidak mengambil tindakan kerana menerima rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi siber tersebut. Justeru, objektif SPRM Pahang turut serta dalam perbincangan ini adalah untuk mencegah daripada berlakunya aktiviti rasuah dan membantu membetulkan persepsi masyarakat terhadap agensi penguatkuasa. Sekiranya terdapat percubaan untuk memberi rasuah, pegawai-pegawai hendaklah melaporkan terus kepada SPRM supaya pemberi rasuah tersebut boleh ditangkap.

Dalam sesi perbincangan ini, semua agensi yang terlibat turut mengemukakan idea dan pelan strategik masing-masing dalam membanteras aktiviti pusat judi siber yang berleluasa dalam daerah Kuantan. Hasil daripada perbincangan tersebut, satu Jawatankuasa Induk NKRA Pasukan Petugas Khas Penguatkuasa Daerah Kuantan, Pahang telah dibentuk di mana SPRM bertindak sebagai urusetia bersama.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPK, YBhg Dato’ Haji Zulkifli B Yaacob dan turut dihadiri oleh Pengarah SKMM Wilayah Timur , YBhg Dato’ Mohd Shafie B Harun , Pengurus SME Telekom, Pengarah Jabatan Perundangan dan Pendakwaan MPK , Wakil IPD Kuantan , Wakil Tenaga Nasional Berhad, Ketua-ketua Bahagian MPK dan pegawai-pegawai kanan SPRM Pahang.