Kuala Lumpur, 20 November 2012 – Majlis Pocket Talk Bersama Pengusaha Kecil dan Sederhana telah berlangsung dengan jayanya pada 20 November 2012 bertempat di Dewan Mahkota, Aras 5, SME Corporation Malaysia, KL Sentral. Program yang julung kalinya diadakan ini melibatkan penyertaan lebih 60 orang pengusaha kecil dan sederhana daripada pelbagai bidang antaranya termasuklah pembuatan, perkhidmatan berkaitan pembuatan & Industri Asas Tani dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Program anjuran bersama SPRM dan SME Corporation Malaysia ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pengusaha kecil dan sederhana untuk memerangi rasuah sekaligus dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan terhadap rasuah dan integriti diri. Di samping itu, majlis ilmu ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengusaha-pengusaha tentang kesan buruk rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang memberikan impak negatif kepada perniagaan mereka dan ekonomi negara.

Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Hajah Sutinah Binti Sutan, beliau menjelaskan program ini sangat bermakna dan berguna kepada pengusaha kecil dan sederhana kerana secara tidak langsung mereka dapat berkongsi pengetahuan selain memperkukuhkan integriti dalam menjalankan perniagaan seharian. Ujarnya lagi, “pengusaha kecil dan sederhana janganlah terlalu ghairah untuk mengejar keuntungan semata-mata dengan membiarkan elemen-elemen rasuah terus berkembang di dalam persekitaran perniagaan”. Beliau memaklumkan SPRM sentiasa mengambil langkah proaktif dan berterusan terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah di negara ini antaranya dengan mewujudkan Ikrar Integriti Korporat (CIP). Beliau turut menyeru agar SME Corporation juga dapat turut serta menyertai CIP ini sekaligus menunjukkan komitmen yang tinggi dan padu bagi mendukung prinsip pencegahan rasuah bagi syarikat korporat di Malaysia.

Sementara itu, menurut Puan Rohana Binti Ramly, Timbalan Ketua Eksekutif (Pelaksanaan) SME Corporation Malaysia dalam ucapan perasmiannya berkata, “perkara-perkara yang melibatkan unsur rasuah, yang menghakis etika dan integriti serta amalan yang tidak sihat merupakan cabaran yang dihadapi oleh sebilangan pengusaha kecil dan sederhana sekaligus gejala ini menyumbang kepada peningkatan kos perniagaan dan mengurangkan keupayaan Malaysia untuk menjadi tarikan pelabur”. Ujarnya lagi, “SME Corp. tidak sesekali berkompromi dengan jenayah keji ini. Justeru, bagi meningkat dan memperkukuhkan integriti dalam organisasi, SME Corp. telah melantik seorang Chief Integrity Officer atau CIO yang telah dilatih dan didedahkan dengan prinsip pencegahan rasuah, kesalahan rasuah, undang-undang dan kajian risiko”. Beliau juga memaklumkan, “SME Corp. dan SPRM telah menjalinkan kerjasama dengan merangka kod etika bagi perniagaan PKS yang pertama di negara ini dalam sektor peralatan kesihatan iaitu Kod Etika Prinsip KL bagi PKS atau KL Principles Code of Ethics for SMEs bagi mewujudkan persekitaran yang adil, telus dan bebas rasuah”.

Di akhir ucapannya, beliau menyeru untuk melahirkan kelompok usahawan yang beretika, berintegriti dan mampu berdikari serta bersaing di peringkat global, tumpuan khusus harus diberikan kepada usaha untuk membina keupayaan usahawan melalui pembudayaan nilai-nilai murni yang konsisten, selain mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada supaya dapat mewujudkan persaingan yang sihat di antara mereka.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan taklimat bertajuk “Memupuk Etika dan Integriti di Kalangan Usahawan PKS” yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Shamshun Baharin Bin Mohd Jamil, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat. Taklimat turut berkisar kepada inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan khusus untuk menangani isu rasuah di negara ini. Selesai taklimat, majlis diteruskan dengan sesi soal jawab oleh peserta dan pelbagai soalan telah diutarakan antaranya berkaitan hadiah. Majlis diakhiri dengan taklimat bertajuk Program Pengembangan & Peningkatan PKS (BAP, E2 SCORE) yang disampaikan oleh Tuan Haji Ismail Bin Haji Hashim, Pengurus Kanan, Khidmat Nasihat & Sokongan Teknikal SME Corp. Malaysia.

Secara keseluruhannya, program ini memberikan impak yang sangat positif kerana berjaya menghimpunkan pengusaha kecil dan sederhana sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Secara tidak langsung, ia juga dapat mempertingkat dan memperkukuhkan integriti serta jati diri pengusaha kecil dan sederhana dalam menjalankan perniagaan dengan lebih jujur, amanah dan bebas rasuah.