Sepang – 15 Dis 2012, Selaras dengan strategi pencegahan rasuah SPRM untuk mendapatkan penyertaan serta sokongan pelbagai pihak dalam bersama membanteras jenayah rasuah, SPRM Selangor telah memantapkan lagi hubungan kerjasama dengan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor politik dalam menganjurkan program pencegahan rasuah di Kawasan Sg. Pelek, Sepang bertempat di Pusat Latihan LKIM, Camar Laut, Bagan Lalang, bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari .

Program telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sg. Pelek, YB Yap EE Wah, Pegawai Polis Daerah Sepang, Pegawai Daerah Sepang serta lebih 100 orang peserta dari 22 NGO terlibat. Antara NGO yang hadir adalah Persatuan Belia Padu Jaya, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil BBST, Kelab Veteran MAYC, Persatuan Peladang Sg. Pelek, PERKASA, MCA Sg. Pelek, Persatuan Perniagaan Cina, Persatuan Hokkien, Persatuan Murid-Murid Tua SJK (C) Sepang, Persatuan Silambam, Persatuan Kebajikan Penduduk-Penduduk India, Kelab Bell Tamil, Persatuan Perniaga India, Majlis Belia Hindu, Persatuan Kuil Paandi Muniswarar, Pertubuhan Belia Hindu, Amanah Ikhtiar Malaysia, UMNO Sg. Pelek, Rukun Tetangga Sg. Pelek, Malaysia Hindu Sangan Sepang, Persatuan MIC Cawangan Sg. Pelek dan Persatuan Derma Darah.
Satu sesi taklimat berkaitan peranan dan tanggungjawab NGO dan sektor politik telah disampaikan oleh PPj Zarizal Bin Ahmad. Program juga turut memuatkan sesi soal jawab dan dialog bersama PPj Tuan Ruslan Bin Tuan Mat untuk memberi penjelasan dan memberi kefahaman kepada peserta terutama berhubung peranan dan isu-isu semasa berkaitan tugas-tugas pencegahan rasuah.

Majlis penyampaian sijil dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah SPRM Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Hj. Ja’afar Bin Mahad. Dalam ucapannya, beliau berkata, “sektor NGO dan Politik adalah entiti berpengaruh dalam mengubah persepsi orang ramai membudayakan integriti dalam masyarakat. SPRM tidak mampu membasmi rasuah tanpa kerjasama dan sokongan daripada masyarakat. Sektor NGO dan politik lebih dekat dengan masyarakat dan kerana itu juga mereka merupakan suara rakyat.
Justeru, golongan ini boleh menjadi ejen penting sebagai pemudah cara kepada SPRM untuk menyalurkan isu dan menjalankan kempen-kempen rasuah kepada orang awam”. Tambah beliau lagi, “SPRM Selangor akan terus mengadakan program seperti ini bagi membolehkan mesej mengenai rasuah dapat disampaikan dari masa ke semasa sekaligus menjadikan NGO dan sektor politik sebagai ejen berkesan kepada SPRM”. Program ini telah mencapai matlamat, di mana pihak NGO dan sektor politik telah memohon kepada SPRM supaya program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

 

TOP

Visitor Statistic


Today
4
Yesterday
47
Week
145
Month
51

All
3435764