Kuching, Sarawak 28 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah mengadakan Pertandingan Menembak Jemputan Tahun 2013 bertempat di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Batu Kawa, Kuching, Sarawak.

Program ini telah menarik penyertaan seramai 80 orang peserta agensi penguatkuasa, kerajaan persekutuan , negeri dan juga pihak media di Bahagian Kuching, Sarawak.

Antara objektif utama diadakan program ini ialah bagi memperluaskan rangkaian sumber dan jalinan hubungan baik di kalangan jabatan, agensi dan media seterusnya menyampaikan kehendak mesej pencegahan rasuah melalui kerjasama yang dilaksanakan secara perkongsian bestari serta meningkatkan kerjasama dalam melaporkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Perutusan Pengarah SPRM Sarawak telah disampaikan oleh PPj. Mohd Nor bin Ali sekaligus merasmikan program pada hari berkenaan yang bermula seawal jam 7.30 pagi. Ketua Polis Negeri Sarawak iaitu YBhg. Dato’ Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani, YBhg. Dato Robert Lian iaitu Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak dan juga beberapa ketua jabatan persekutuan termasuklah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia,Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Penjara turut bersama memeriahkan pertandingan.

Dalam pertandingan ini 4 acara telah dipertandingkan iaitu acara centre fire vip ,centre fire individu, centre fire kumpulan dan juga acara jatuh piring.

Majlis penyampaian hadiah untuk kesemua pemenang dan cenderamata penghargaan kepada Polis Di Raja Malaysia Sarawak, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Kuching, Jabatan Kerja Raya Bahagian Kuching, Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak dan Bahagian Keselamatan Ibu Pejabat SPRM atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan program telah disempurnakan oleh PPj. Mohd. Nor bin Ali.

Hits: 5457