Bandar Bukit Mahkota, 1 Oktober - Bersempena dengan ulangtahun penubuhan BPR/SPRM yang ke 48, SPRM dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah menganjurkan program Jihad Memerangi Rasuah bertempat di Masjid Al-Azhar, KUIS. Majlis yang bermula pada pukul 6.30 petang ini, dimulakan dengan bacaan surah Yassin dan disusuli dengan tahlil yang dipimpin oleh ustaz Nik Mohd Sukiman Bin Nik Yusuf. Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat sunat hajat. Selesai solat sunat hajat, majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Datuk Haji Mustafar Bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM. Dalam ucapan aluannya beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak KUIS yang sudi bekerjasama dalam penganjuran majlis yang cukup bermakna ini. Selain itu, ujarnya lagi, ”jihad untuk memerangi rasuah perlu dijiwai oleh semua orang dan perlu diterjemah dalam bentuk tindakan serta sokongan oleh semua lapisan masyarakat”. Majlis seterusnya merupakan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Imam Muda Asyraf bertajuk Jihad Memerangi Rasuah. Beliau telah menyeru kepada semua yang hadir agar memberikan sokongan yang berterusan kepada SPRM dalam menjalankan tugas untuk mencegah kemungkaran. Tambahnya lagi, ”perjuangan untuk menentang rasuah ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan meneladani perjuangan orang-orang terdahulu yang telah berjaya mencegahan kemungkaran”. Beliau turut mengambil contoh perjuangan Nabi Ibrahim yang sering menerima ujian yang berat dalam menyebarkan agama Allah SWT namun beliau sentiasa istiqamah dalam perjuangannya untuk menegakkan kebenaran. Majlis berakhir dengan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Imam Muda Asyraf dan jamuan makan malam. Dianggarkan lebih 1000 orang peserta telah menghadiri program ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM YBhg. Dato’ Mohd Jamidan Bin Abdullah, mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM YBhg. Dato’ Sri Zakaria Bin Haji Jaffar, Rektor KUIS Profesor Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri, Pengarah-pengarah Bahagian, pegawai-pegawai kanan SPRM dan KUIS.

TOP

Visitor Statistic


Today
19
Yesterday
48
Week
258
Month
258

All
3438860