Tuntutan Palsu: Ahli Perniagaan Bergelar Tan Sri Dan Anak Dituduh

 

SEORANG ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan anaknya yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai hampir RM13 juta antara tahun 2012 hingga 2013.

Ahli perniagaan tersebut, Tan Sri S. Balakrishnan, 63, dan anaknya, B. Ashok Kumar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibaca di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Azura Alwi di mahkamah berasingan.

Di Mahkamah Sesyen 14, Balakrishnan, yang merupakan Pengarah dan Pemegang Saham Syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa mengemukakan tuntutan palsu hampir RM13 juta melibatkan pembekalan 358 unit dewatering container bagi projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedangkan hanya 89 unit dewatering container melibatkan kos kira-kira RM3.2 juta telah dibekalkan.

Di Mahkamah Sesyen 9 pula, Ashok, yang merupakan Pengarah Projek Syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa bersubahat dengan Balakrishnan untuk melakukan kesalahan tersebut.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Projek Khas Ibu Pejabat JPS, Kuala Lumpur antara 27 April 2012 hingga 23 Oktober 2013.

Balakrishnan yang berhadapan dengan satu pertuduhan dituduh bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Ashok yang juga berhadapan dengan satu pertuduhan dituduh bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Kedua-duanya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Allaudeen membenarkan Balakrishnan dijamin sebanyak RM500,000 atau dengan tanah yang mempunyai nilai setara bersama dua orang penjamin dan pasport diserah kepada mahkamah.

Dalam pada itu, Hakim Azura juga membenarkan Ashok dijamin sebanyak RM500,000 atau dengan tanah yang mempunyai nilai setara bersama dua orang penjamin dan pasport turut diserah kepada mahkamah.

Kedua-dua kes tersebut akan disebut semula pada 28 Ogos ini.

Bagi pihak SPRM, kes ini dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thangavelu.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

26 JULAI 2017

TOP

Visitor Statistic


Today
27
Yesterday
48
Week
121
Month
27

All
3435740