Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Sambut Baik Keputusan SPRM Bentuk Panel Khas Berkaitan Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion

 

JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menerima syor JKMR, yang dibuat dalam Laporan Tahunan 2014 dan diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen pada 1 Disember 2015, agar penemuan dan hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi dibentangkan kepada satu panel bebas khas sebelum laporan siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

SPRM juga telah mengadakan pertemuan dengan saya baru-baru ini dan telah memaklumkan bahawa SPRM akan menubuhkan panel bebas khas yang dimaksudkan, demi kepentingan ketelusan siasatan dan bagi menunjukkan SPRM betul-betul bebas dan profesional dalam menjalankan siasatan.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengurusan Tertinggi SPRM yang bermesyuarat pada 22 Disember 2015 juga telah mencapai persetujuan berkenaan pelantikan ahli-ahli panel bebas khas ini, yang terdiri daripada kalangan profesional dan tidak terlibat dalam parti politik. Sebagaimana disyorkan oleh JKMR, panel bebas khas ini terdiri daripada lima ahli, yang merupakan anggota tiga daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Panel bebas khas ini akan melihat dengan teliti segala penemuan siasatan dan syor yang dibuat oleh SPRM berkenaan dengan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dalam kertas siasatan.

Panel bebas khas ini akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikutip oleh SPRM.

Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan siasatan SPRM adalah telus. JKMR yakin pengwujudan panel bebas khas ini, yang julung kali dibentuk, akan menangkis kemungkinan tanggapan atau persepsi negatif terhadap SPRM yang sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

Malah, JKMR berpendirian langkah ini penting memandangkan siasatan semasa yang dikendalikan oleh SPRM melibatkan kes khas berprofil tinggi.

JKMR juga memberi jaminan pembentukan panel khas ini tidak sama sekali mencabar dan menjejaskan segala kuasa Peguam Negara yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keputusan kerana peruntukan perundangan itu tetap terpelihara.

TAN SRI ABU ZAHAR UJANG

PENGERUSI JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH,

BADAN BEBAS YANG MEMANTAU PERJALANAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 29 DISEMBER 2015

   
TOP

Visitor Statistic


Today
38
Yesterday
48
Week
337
Month
1221

All
3424850