MERUJUK kepada laporan beberapa portal dan akhbar yang memetik karya Dato A. Kadir Jasin berkaitan kes yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya selaku Pengarah Bahagian Operasi Khas, ingin memaklumkan yang pasukan siasatan kes ini telah diberi panduan dan amanat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bahawa pasukan siasatan mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas iaitu sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya. Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

Pengurusan Tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak akan mengetahui yang SPRM telah mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas. Pasukan siasatan yang terlibat dalam kes ini menghormati dan berbangga dengan ketegasan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato Sri Mohd Shukri Abdull dalam kes ini.

Dalam pada itu, berhubung kenyataan YB Rafizi Ramli bahawa SPRM perlu mendedahkan nama penderma yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Akta SPRM 2009 tidak membolehkan SPRM memaklumkan butiran terperinci kepada publik.

SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan andainya ia tidak bercanggah dengan undang-undang. Bagaimanapun peruntukan yang sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian. Perkara ini juga ada disebutkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman kepada sebuah portal pada 26 Disember 2015, di mana SPRM tidak ada kuasa sehingga kes yang disiasat dibawa ke mahkamah.

SPRM berharap semua pihak faham akan perkara ini. Sebagai penggubal undang-undang, diharap YB Rafizi memahami kekangan ini dan mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang disiasat secara terperinci kepada umum.

Bagi pihak SPRM, saya memberi jaminan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

 

DATO' BAHRI MOHAMAD ZIN

PENGARAH OPERASI KHAS

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA

27 DISEMBER 2015

  /images/Kenyataan-media-sprm-kes-src-international-27dis15.pdf
TOP

Visitor Statistic


Today
38
Yesterday
48
Week
337
Month
1221

All
3424850