KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apabila melonjak kepada tangga ke-51 daripada 180 negara, tahun lalu, berbanding berada di kedudukan ke-61 pada 2018.

Skor Malaysia dalam CPI itu turut meningkat kepada 53, tahun lalu, berbanding 47 yang direkodkan dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.

Perkembangan yang diyakini memberi ‘nafas baharu’ dalam transformasi urus tadbir negara itu diumumkan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung TI-M, Raymon Ram.

Skor CPI ditentukan mengikut 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar bersandarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara, mengikut skala antara sifar hingga 100.

Skor sifar dianggap paling rasuah, manakala 100 dikategorikan paling bersih.

Kedudukan pertama dalam CPI 2019 dikongsi dua negara yang mencatatkan skor 87, iaitu New Zealand dan Denmark.

Negara yang dibelenggu peperangan dan konflik, iaitu Somalia serta Sudan Selatan pula berada di kedudukan terbawah dalam CPI 2019.

 

Hits: 192