• Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Kelab Tempatan Didakwa Rasuah RM20,000 Atur Perlawanan

    Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Kelab Tempatan Didakwa Rasuah RM20,000 Atur Perlawanan

     

    Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan bersama seorang bekas pemain kelab tempatan yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menawarkan rasuah berjumlah RM20,000 bagi mengatur satu perlawanan bola sepak pada awal April lalu.

     

    Bekas pemain kebangsaan terbabit, Khairul Anuar Baharum, 43 dan G.Prem Kumar, 49, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bagi setiap seorang yang dibacakan sekali di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

     

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

     

    Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menawarkan RM10,000 kepada penjaga gawang Malaysian India Sports Council-Malaysian Indian Football Asscociation (MISC-MIFA) sebagai dorongan untuk mengatur perlawanan antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang berlangsung pada 7 April 2017 supaya pasukan itu tewas 0-2 kepada PKNP.

     

    Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa menawarkan RM10,000 kepada seorang lagi pemain MISC-MIFA sebagai dorongan untuk mengatur perlawanan sama.

     

    Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2017 antara pukul 9 hingga 10 malam, di Jalan Andalas 1, Senawang Light Industry Area, Seremban, Negeri Sembilan.

     

    Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

     

    Hakim Fathiyah telah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

     

    Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Seremban sebulan sekali serta 31 Mei 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

     

    Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Nurdiyanah Mohd Nawawi.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)

    PUTRAJAYA

    28 APRIL 2017

    Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Kelab Tempatan Didakwa Rasuah RM20,000 Atur Perlawanan  PDF