• 16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa

    16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa

     

    Seramai 16 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat di empat buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan menerima rasuah, hari ini.

    Mereka yang dituduh merupakan seorang Deputi Supritenden, dua Asisten Supritenden, dua Inspektor dan selebihnya pelbagai anggota berpangkat rendah.

    Lapan daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, empat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tiga di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan seorang di Mahkamah Sesyen Georgetown.

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun denda 10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana-mana lebih tinggi.

    SPRM ingin menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang terkecuali daripada siasatan SPRM termasuk agensi penguatkuasaan jika mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah.

    Agensi-agensi penguatkuasaan ini merupakan harapan masyarakat untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman jenayah selain menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    9 MAC 2017

     16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa PDF