• Inspektor Didakwa Terima Rasuah RM15,500

    Inspektor Didakwa Terima Rasuah RM15,500

     

    Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM15,500 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk mengurangkan lima pertuduhan teman lelakinya, tahun lepas.

    M. Krishnan, 33, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Bagi pertuduhan pertama, Krishnan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM8,500 daripada Lim Bee Sin, 21, sebagai dorongan mengurangkan lima pertuduhan membabitkan teman lelaki wanita itu, Koay Khoon You, 23, iaitu suspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Krishnan didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Klang Selatan kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 Januari 2016.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Bagi pertuduhan kedua, Krishnan didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Lim bagi tujuan sama di IPD Klang Selatan, kira-kira pukul 5.15 petang, 14 Januari 2016.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan, Krishnan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

    Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kedua-dua kesalahan dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 3 April 2016.

    Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    8 MAC 2017

    Inspektor Didakwa Terima Rasuah RM15,500  PDF