• Isu bauksit: SPRM Tahan Tiga Lagi Individu

    Isu bauksit: SPRM Tahan Tiga Lagi Individu

     

    Susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu perlombongan bauksit tidak terkawal dan ketirisan hasil kerajaan di Pahang, SPRM telah menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita, yang dipercayai terlibat dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi pelombongan bauksit secara haram.

     

    Mereka ditahan semalam, 8 Januari 2016.

     

    Ketiga-tiga individu terbabit ditahan secara berasingan di sekitar Kuantan antara pukul 4 petang hingga 11.55 malam.

     

    Kesemua mereka yang berusia antara 44 dan 50 tahun itu merupakan orang awam. Mereka dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.

     

    Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

     

    SPRM masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.

     

    SPRM turut menyeru orang ramai agar memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu yang terlibat memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram.

     

    DATO' AZAM BAKI

    PENGARAH SIASATAN

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    9 JANUARI 2016

     

    /images/ISU-BAUKSIT-SPRM-TAHAN-TIGA-LAGI-INDIVIDU.pdf pdf
  • Kes SRC Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Ulangi Jaminan Siasatan Akan Dikendali Dengan Bebas Dan Profesional

    MERUJUK kepada laporan beberapa portal dan akhbar yang memetik karya Dato A. Kadir Jasin berkaitan kes yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya selaku Pengarah Bahagian Operasi Khas, ingin memaklumkan yang pasukan siasatan kes ini telah diberi panduan dan amanat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bahawa pasukan siasatan mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas iaitu sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya. Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

    Pengurusan Tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak akan mengetahui yang SPRM telah mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas. Pasukan siasatan yang terlibat dalam kes ini menghormati dan berbangga dengan ketegasan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato Sri Mohd Shukri Abdull dalam kes ini.

    Dalam pada itu, berhubung kenyataan YB Rafizi Ramli bahawa SPRM perlu mendedahkan nama penderma yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Akta SPRM 2009 tidak membolehkan SPRM memaklumkan butiran terperinci kepada publik.

    SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan andainya ia tidak bercanggah dengan undang-undang. Bagaimanapun peruntukan yang sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian. Perkara ini juga ada disebutkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman kepada sebuah portal pada 26 Disember 2015, di mana SPRM tidak ada kuasa sehingga kes yang disiasat dibawa ke mahkamah.

    SPRM berharap semua pihak faham akan perkara ini. Sebagai penggubal undang-undang, diharap YB Rafizi memahami kekangan ini dan mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang disiasat secara terperinci kepada umum.

    Bagi pihak SPRM, saya memberi jaminan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

     

    DATO' BAHRI MOHAMAD ZIN

    PENGARAH OPERASI KHAS

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA

    27 DISEMBER 2015

      /images/Kenyataan-media-sprm-kes-src-international-27dis15.pdf
  • SPRM Kesan Dua Lelaki Bantu Siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah sedang mengesan dua lelaki warganegara Malaysia bagi membantu siasatan kes SPRM.

    Individu pertama yang dikesan ialah Chang Kang Vui, 29, yang mempunyai alamat terakhir di Beverly Hill Phase 5, Blok M 3-0, Penampang, Sabah.

    Manakala individu kedua yang dikesan ialah Adrian Hiew Khai Yuen, 24, yang mempunyai alamat terakhir di Kedai Kopi Sin Lee, Tingkat 1, Putatan, 88200 Sabah.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa, Mohd. Iskandar Rizman di talian 088-488 381 atau 012-302 3377.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    18 SEPTEMBER 2018

    SPRM Kesan Dua Lelaki Bantu Siasatan  PDF

     

     

  • SPRM Masih Siasat Dakwaan Rasuah Pembalakan Di Kelantan

    SPRM Masih Siasat Dakwaan Rasuah Pembalakan Di Kelantan 

    Berhubung laporan media berkaitan isu rasuah pembalakan di Kelantan bernilai lebih RM5 juta, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa SPRM telah mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh pihak terbabit.

    Sementara siasatan masih dikendalikan, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

    Sekiranya mana-mana pihak yang pernah membuat laporan kepada SPRM ingin mengetahui status siasatan boleh menghubungi sendiri SPRM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    SPRM percaya usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya setiap anggota masyarakat bekerjasama dengan SPRM. Dalam kes yang dilaporkan media ini, SPRM mengucapkan terima kasih atas maklumat yang dikongsi, tetapi SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan.

    Selaku agensi tunggal pencegahan rasuah di Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat setiap kes rasuah mengikut undang-undang yang sedia ada dengan bebas, telus dan profesional, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    16 DISEMBER 2015

    SPRM Masih Siasat Dakwaan Rasuah Pembalakan Di Kelantan  
       
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
11
Semalam
52
Minggu Ini
258
Bulan Ini
909

Keseluruhan
3427520