• 7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR

    7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu muncul sebagai agensi kerajaan pertama di negeri tersebut untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Majlis melafaz ikrar yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu diketuai oleh Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan), Jusman Ibrahim dan IBR yang ditandatangani diserahkan kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

    Majlis penyerahan IBR tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Terengganu, Dato' Mohd. Jidin Shafee.

    Sebanyak tujuh PBT Negeri Terengganu telah menandatangani IBR pada majlis tersebut iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman, Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Marang, Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

    Shamshun Baharin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, tindakan para kepimpinan PBT dan warganya dalam menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif serta bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

    "Syabas diucapkan kepada Yang Dipertua dari kesemua tujuh daerah ini atas kesanggupan merealisasikan komitmen bagi mempamerkan kesungguhan kendiri jabatan untuk memerangi jenayah rasuah dengan melafaz ikrar dan menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan PBT dalam menandatangani IBR ini telah membuktikan usaha membanteras rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata sebaliknya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh anggota masyarakat," ujarnya.

    Turut hadir pada majlis yang diadakan sempena Pelancaran Kod Etika Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu itu ialah Pengarah SPRM Negeri Terengganu, P. Ganason S. Periathamby dan Timbalan Pengarah SPRM Negeri Terengganu, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

    Jelas beliau, diharapkan IBR yang didahului oleh PBT Negeri Terengganu akan menjadi titik permulaan kepada keterlibatan agensi-agensi kerajaan lain serta organisasi-organisasi swasta untuk tampil menawarkan diri secara sukarela bagi menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Dengan menandatangani IBR, ia sekali gus akan mewujudkan satu rangkaian kerjasama dengan pihak SPRM dalam usahasama secara berterusan bagi memerangi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

    "Saya percaya PBT Negeri Terengganu, dengan keazaman dan semangat yang baharu akan terus berusaha untuk meningkatkan dan melonjakkan hasil pendapatan negeri tahun ini," ujar beliau.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    TERENGGANU

    28 FEBRUARI 2017

     7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR PDF