• SPRM Tahan Enam Individu Terlibat Rasuah Hartanah Negeri Johor

    SPRM Tahan Enam Individu Terlibat Rasuah Hartanah Negeri Johor

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap enam individu kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Negeri Johor.

    Keenam-enam suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi pada 24 Februari 2017.

    Mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

    Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Negeri Johor.

    Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan Negeri Johor.

    Dalam operasi tersebut, SPRM juga telah merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500 ribu termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

    SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Negeri Johor.

    Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan.

    SPRM akan memanggil beberapa orang lagi saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini.

    Penolong pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan.

    Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

    DATO’ AZAM BAKI

    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    JOHOR BAHRU, JOHOR

    25 FEBRUARI 2017

    SPRM Tahan Enam Individu Terlibat Rasuah Hartanah Negeri Johor  PDF