• 7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR

    7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu muncul sebagai agensi kerajaan pertama di negeri tersebut untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Majlis melafaz ikrar yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu diketuai oleh Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan), Jusman Ibrahim dan IBR yang ditandatangani diserahkan kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

    Majlis penyerahan IBR tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Terengganu, Dato' Mohd. Jidin Shafee.

    Sebanyak tujuh PBT Negeri Terengganu telah menandatangani IBR pada majlis tersebut iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman, Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Marang, Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

    Shamshun Baharin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, tindakan para kepimpinan PBT dan warganya dalam menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif serta bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

    "Syabas diucapkan kepada Yang Dipertua dari kesemua tujuh daerah ini atas kesanggupan merealisasikan komitmen bagi mempamerkan kesungguhan kendiri jabatan untuk memerangi jenayah rasuah dengan melafaz ikrar dan menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan PBT dalam menandatangani IBR ini telah membuktikan usaha membanteras rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata sebaliknya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh anggota masyarakat," ujarnya.

    Turut hadir pada majlis yang diadakan sempena Pelancaran Kod Etika Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu itu ialah Pengarah SPRM Negeri Terengganu, P. Ganason S. Periathamby dan Timbalan Pengarah SPRM Negeri Terengganu, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

    Jelas beliau, diharapkan IBR yang didahului oleh PBT Negeri Terengganu akan menjadi titik permulaan kepada keterlibatan agensi-agensi kerajaan lain serta organisasi-organisasi swasta untuk tampil menawarkan diri secara sukarela bagi menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Dengan menandatangani IBR, ia sekali gus akan mewujudkan satu rangkaian kerjasama dengan pihak SPRM dalam usahasama secara berterusan bagi memerangi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

    "Saya percaya PBT Negeri Terengganu, dengan keazaman dan semangat yang baharu akan terus berusaha untuk meningkatkan dan melonjakkan hasil pendapatan negeri tahun ini," ujar beliau.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    TERENGGANU

    28 FEBRUARI 2017

     7 PBT Negeri Terengganu Tandatangani IBR PDF
  • Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Sokong Usaha Anti-Rasuah Melalui IBR

    PETALING JAYA, 11 Mei – “Komitmen dan sokongan padu warga MQA menjadi pembakar semangat kepada SPRM untuk terus berjuang dalam memerangi jenayah rasuah dan salahguna kuasa secara habis-habisan”, ujar Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil semasa menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), hari ini.

    Majlis melafaz dan menandatangani IBR yang diadakan di Menara PKNS ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Profesor Dr. Rujhan Mustafa bersama kira-kira 200 orang kakitangan MQA dan disaksikan oleh Dato’ Shamshun Baharin.

    Tambah Dato’ Shamshun Baharin, penglibatan warga kerja MQA dalam majlis berkenaan jelas mencerminkan komitmen bagi memastikan institusi tersebut dan Negara ini bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah serta salahguna kuasa.

    MQA merupakan agensi tunggal yang berperanan menyelia dan menyelarasjaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi di Malaysia.

  • Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

    MELAKA, 31 Mac – Hasil kesinambungan dari sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serata Malaysia, Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Melaka turut serta menjunjung IBR sebagai komitmen ke arah organisasi bebas rasuah.

    Majlis menandatangani dan melafaz IBR ini diketuai oleh Pengarah AKMAL Negeri Melaka,Dato’ Azimah binti Abd Hamid di hadapan Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Pengurusan), Dato’ Hasnol Zam-Zam dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Melaka, PPj Abu Talib bin Othman.

    Turut serta dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah AKMAL Negeri Melaka, Tuan Saidi bin Ismail serta 80 orang pegawai dan kakitangan Kastam AKMAL dan juga pegawai-pegawai kanan SPRM Melaka.

    Langkah yang diambil AKMAL Negeri Melaka ini merupakan manifestasi kesungguhan mereka untuk menerapkan unsur anti-rasuah dari peringkat awal latihan pegawai yang akan memasuki perkhidmatan Kastam. Usaha ini amat dipuji dan patut dicontohi oleh agensi-agensi lain, terutamanya agensi penguatkuasaan.

     

  • Anak Syarikat Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Teruskan Inisiatif IBR

    TENOM, 12 Mei - Seramai 150 pegawai, kakitangan dan anak syarikat Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) meliputi tiga daerah pedalaman iaitu Tenom, Keningau dan Sipitang hari ini telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena taklimat mengenai pembudayaan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

    Pengerusi LIGS, Datuk Rubin Balang berkata langkah itu adalah bagi mencapai hasrat menjadikan LIGS sebuah agensi yang bersih dan bebas rasuah.

    "Sebagai agensi berorientasikan komersial serta menyahut seruan kerajaan dalam membasmi kemiskinan dalam kalangan pekebun kecil getah, kakitangan hendaklah memiliki nilai-nilai integriti dalam menyampaikan perkhidmatan yang efisien.

    "Ini termasuk membanteras rasuah dan salahguna kuasa, melayani pekebun kecil dengan cara berhemah, berbudi bahasa, memiliki sikap prihatin kepada pekebun kecil, mempercepatkan proses membuat keputusan serta mengamalkan tadbir urus yang efisien serta efektif," kata Datuk Rubin dalam ucapan beliau.

    Turut diadakan pada majlis ini ialah Taklimat Integriti disampaikan oleh PPj Aini Ag Muda dengan dihadiri  bersama KPKPs Masni Zainal.

    Majlis IBR oleh anak syarikat LIGS ini merupakan kesinambungan dari IBR yang ditandatangani ibu pejabat LIGS Februari lepas.

  • FAS Bendung Rasuah Bersama SPRM Melalui IBR

    SEPANG, 28 Mac – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil langkah membendung gejala rasuah dalam sukan melalui pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Haji Azam Baki, untuk mengetuai Jawatankuasa Integriti FAS serta dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

    Lafaz IBR telah diketuai oleh Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal, diikuti oleh 15 orang Exco FAS, kapten pasukan bola sepak Selangor serta pegawai dan pemain-pemain FAS. Sesi menandatangan IBR pula telah disaksikan oleh Dato' Haji Azam Baki.

    Dato’ Haji Azam sejurus itu menyatakan bahawa SPRM sentiasa terbuka untuk menghulurkan bantuan kepada mana-mana persatuan bola sepak negeri dan kelab dari segi khidmat nasihat dan pemantauan.

    Tambahan pula, IBR yang bertindak sebagai petunjuk dapat melahirkan pegawai dan pemain berintegriti tinggi dan berkualiti, sekaligus membangunkan sukan bola sepak tanah air. 

  • FAS Persatuan Sukan Pertama Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

    FAS Persatuan Sukan Pertama Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

    Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini telah mengorak langkah baru sebagai persatuan sukan pertama di Malaysia menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal telah mendahului penandatanganan IBR dengan diikuti oleh 15 Exco dan kapten pasukan bola sepak Selangor.

    Majlis tandatangan IBR itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Azam Baki.

    Inisiatif ini sekaligus memperlihatkan kesungguhan FAS dalam memastikan pentadbiran persatuan itu dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berkaitan.

    Justeru itu, SPRM dan FAS akan bekerjasama dalam memastikan tidak berlakunya jenayah rasuah, mengatur perlawanan dan salah guna kuasa khususnya di negeri Selangor.

    SPRM juga percaya dengan adanya IBR sebagai petunjuk, ia akan melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berintegriti dan berkualiti.

    IBR merupakan satu usaha baru yang diperkenalkan oleh SPRM yang mana menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

    SPRM berharap inisiatif ini dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat bukan sahaja terhadap SPRM dan FAS malah persatuan-persatuan sukan yang lain di negara ini dalam usaha berterusan untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    28 MAC 2017

    FAS Persatuan Sukan Pertama Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah  PDF
  • Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Sempena Majlis Bersama Pengarah dan Sambutan Hari Integriti Jabatan Perhutanan Sarawak Peringkat Zon Tengah Sibu 2017

    SIBU, 28 April – Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh pegawai serta kakitangan Jabatan Perhutanan Sarawak bagi Zon Tengah Sibu telah diadakan bertempat di Hotel Paramount, Sibu, Sarawak pagi ini. Ikrar Bebas Rasuah ini telah diadakan bersempena dengan Majlis Bersama Pengarah dan Sambutan Hari Integriti Jabatan Perhutanan Sarawak Peringkat Zon Tengah Sarawak 2017.

    Seramai kira- kira 70 orang pegawai dan kakitangan dari setiap peringkat dari Bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan juga Mukah, Sarawak telah melafaz IBR di hadapan Pengarah Hutan Sarawak, Y. Brs. Tuan Haji Sapuan bin Ahmad dan disaksikan oleh PPj. Jutim Anak Nyagam, Ketua Penolong Pengarah, SPRM Cawangan Sibu, Sarawak.

    Turut diselitkan dalam program ini ialah taklimat pencegahan rasuah yang telah disampaikan oleh PKPs. Badli Shah bin Shamin. Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini merupakan yang pertama kali diadakan di peringkat Jabatan Perhutanan Sarawak dan bakal menyusul program yang seumpama ini di peringkat Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak dalam masa yang terdekat.

  • Iltizam Yayasan Perak Benci Rasuah melalui IBR

    IPOH, 9 Mei - Yayasan Perak bersama-sama anak syarikat menanam iltizam membenci rasuah dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dalam satu majlis yang diadakan di Tower Regency Ipoh hari ini.

    Majlis lafaz ikrar diketuai oleh Pn.Aida Hazlyn Hassan, Pengurus Besar Yayasan Perak dengan diikuti oleh pegawai-pegawai kanan Yayasan dan lain-lain kakitangan Yayasan dan anak syarikat Yayasan. Majlis diakhiri dengan penyerahan dokumen IBR yang telah dimeterai kepada Pengarah SPRM Perak.

    Inisiatif IBR ini membuktikan bahawa kesemua warga kerja Yayasan Perak berusaha untuk menjadi pegawai yang berintegriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

    Dalam ucapannya, Dato’ Hjh Nooraziah bt Abd Manaf, Pengarah SPRM Perak, turut menghebahkan satu gelombang baru SPRM iaitu Gerakan Revolusi Anti Rasuah ataupun GERAH. GERAH merupakan satu usaha SPRM dalam mendekati masyarakat menyebarkan agenda pencegahan rasuah setiap bulan serentak seluruh Malaysia dengan kempen 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’. 

     Menerusi IBR yang ditandatangani ini diharapkan usaha membanteras rasuah bukanlah diletakkan sebagai tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata sebaliknya dipikul bersama oleh Yayasan dalam memantapkan tadbir urus dan ketelusan untuk menghindarkan gejala rasuah dan salah guna kuasa.

  • Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, Pulihkan Imej dan Semangat

    KOTA KINABALU, 15 Mei - Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini telah melaksanakan Majlis Lafaz & Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Pengarah JANS, Ketua-ketua Bahagian, Jurutera-jurutera Daerah dan pegawai-pegawai kanan serta warga kerja JANS dari seluruh Negeri Sabah. Lafaz IBR ini diketuai oleh Pengarah JANS, Ir. Willis Ansoi dan diikuti oleh seramai 490 orang warga JANS.

    Usaha ini dilihat sebagai salah satu inisiatif bagi memulih dan membersihkan imej JANS selain mengembalikan semula motivasi dan semangat warga kerja JANS, khususnya ekoran daripada kes ‘Ops Water’ sebelum ini. 

    Di dalam majlis ini juga, satu sesi perkongsian dan penerangan mengenai Akta Perlindungan Saksi 2009 serta Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 telah diperjelaskan oleh YBhg. Dato’ Sazali Salbi, Pengarah SPRM Sabah kepada peserta yang hadir.

    Menurut Ir. Willis Ansoi, Pengarah JANS, pelaksanaan IBR ini diharapkan dapat memperlihatkan kesungguhan, keikhlasan kerja dan keinginan untuk penambahbaikan tadbir urus, peningkatan integriti serta suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah.

    Di samping itu, inisiatif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap warga kerja JANS sekaligus membersihkan kembali nama baik JANS.

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur Mengambil Inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

    KUALA LUMPUR, 16 Mac – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menzahirkan sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi jenayah rasuah dan salahguna kuasa menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani di Auditorium Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

     

    Bacaan Ikrar Bebas Rasuah tersebut diketuai oleh Puan Zaida Hussin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan bersama lebih daripada 300 orang pegawai dan kakitangan Kastam di hadapan Dato’ Indera Subromaniam Tholasy, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan & Pematuhan). Ianya juga turut disaksikan oleh Dato’ Han Chee Rull, Pengarah SPRM Kuala Lumpur,Puan Nor Haziah Abdul Wahab, Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Penyertaan barisan kepimpinan dan kakitangan Kastam ini merupakan satu manifestasi kepada sokongan dan komitmen berterusan untuk menjadikan negara bebas daripada belenggu jenayah rasuah dan salahguna kuasa. Sokongan padu Kastam dalam menyokong agenda membanteras gejala rasuah oleh SPRM ini diharapkan dapat membantu dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat secara telus dan penuh berintegriti.

    Inisiatif IBR oleh JKDRM Kuala Lumpur ini merupakan kesinambungan daripada lafaz IBR oleh ibu pejabat Jabatan Kastam, yang merupakan agensi penguatkuasaan pertama yang menandatangani IBR pada bulan Februari lalu.

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sahut Seruan Dengan Ikrar Bebas Rasuah

    KUCHING, 23 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sarawak telah menyahut seruan SPRM untuk menjadi organisasi bersih dan bebas rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Wisma Kastam Negeri Sarawak hari ini.

    Seramai kira-kira 260 orang pegawai dan kakitangan Kastam Negeri Sarawak telah melafaz ikrar dihadapan Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan), Dato’ Paddy Bin Abd. Halim. Turut hadir bersama menyaksikan lafaz ikrar dan simbolik penyerahan ikrar tersebut ialah Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Tn. Haji Ahmad Bin Jii dan Y.Bhg Dato’ Badrul Shah Bin Norman, Pengarah SPRM Negeri Sarawak.

    Majlis ini merupakan kesinambungan daripada Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 23 Februari yang lalu di Hotel Summit, Kuala Lumpur.

    Majlis ini juga turut dihadiri oleh KPKPj Rosley Bin Mohamad Satar, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Sarawak dan P/PPj Chang Ching, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sarawak.

  • Jabatan Mufti Negeri Selangor Sambut Seruan Ikrar Bebas Rasuah

    SHAH ALAM, 12 Mei - Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) mengambil langkah positif dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan kerjasama SPRM Negeri Selangor bertempat di Dewan Kuliah Sakinah, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

    Sebagai Jabatan Mufti pertama di negara yang mengambil inisiatif ini, YBhg. Sahibus Samahah Dato' Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abdul Wahid dalam ucapannya menyeru kepada semua barisan kepimpinan JMNS supaya merapatkan saf serta meningkatkan integriti diri dan organisasi supaya bersama-sama SPRM berhadapan dengan jenayah rasuah dan salahguna kuasa yang merupakan musuh nombor 1 negara.

    Lafaz Ikrar dipimpin oleh YBhg. Sahibus Samahah Dato' Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abdul Wahid dan disaksikan oleh YBhg. Dato' Wan Ramli Bin Wan Abdullah, Pengarah SPRM Negeri Selangor serta En. Imran Bin Jamalul-Lail, Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

  • Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Pahang Tandatangani IBR

    KUANTAN,  31 Mac - Seramai 15 orang kakitangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Pahang yang diketuai oleh Pengarah JPPM Negeri Pahang, Puan Noor Atikah Binti Mokhtar telah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Pahang, KPKPj Ab. Muneim Bin Ibrahim bersama YBhg. Puan Surayati Binti Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah JPPM pagi ini.

    Majlis IBR yang telah berlangsung di Bilik Mesyuarat JPPM Pahang ini memperlihatkan kesungguhan JPPM untuk bersama-sama SPRM dalam mencegah segala bentuk jenayah rasuah dan salahguna kuasa.

    KPKPj Ab. Muneim Bin Ibrahim dalam ucapan beliau menegaskan bahawa SPRM haruslah dijadikan rakan dan bukannya seteru oleh segenap lapisan masyarakat termasuk warga JPPM. Beliau turut menyeru kepada setiap kakitangan JPPM yang melafaz IBR agar terus memberi sokongan kepada SPRM dalam membenteras segala bentuk jenayah rasuah serta memberi komitmen yang berterusan menolak segala bentuk salah laku rasuah.

    Turut hadir ke Program ini PKPj Jamaluddin Bin Puteh, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Pahang, PsK Muhammad Bin Zakaria, Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Pahang dan PKPs Mohamad Bin Hussain, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat.

  • JKR Negeri Sembilan Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

    SEREMBAN, 18 Mei - Khamis - Seramai 250 orang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan yang diketuai sendiri oleh Ybhg. Dato Abdul Karim bin Mohd Tahir Pengarah JKR Negeri Sembilan telah menyatakan komitmen bersama SPRM menolak rasuah dengan mengambil inisiatif melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Wisma Negeri itu dihadiri oleh pegawai pengurusan JKR yang terdiri daripada Jurutera Daerah, Jurutera, Juruukur Bahan, Arkitek, pegawai pengurusan dan profesional dan Penolong Jurutera.

    Majlis ikrar telah disaksikan oleh wakil Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Pn. Yasmin Azura binti Yahya, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Sembilan dengan diiringi oleh pegawai kanan SPRM Negeri Sembilan.

    Inisiatif IBR ini diharap dapat meningkatkan integriti dan ketelusan dalam cara kerja dan pentadbiran JKR Negeri Sembilan serta kakitangannya.

  • JKSM Badan Kehakiman Pertama Tandatangani IBR

    JKSM Badan Kehakiman Pertama Tandatangani IBR

    Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini menjadi badan kehakiman pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda komitmen menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti menjauhi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

    Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna JKSM, Aras 5, Blok C, Kompleks Islam Putrajaya itu disaksi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad bersama Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim Lembut.

    Datuk Dzulkifli berkata, institusi kehakiman syariah yang ditadbir oleh JKSM perlu menjadi sebuah institusi yang sentiasa dilihat dan dianggap bersih serta bebas daripada sebarang anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

    Beliau berkata inisiatif yang telah diambil oleh JKSM hari ini adalah amat penting keranarakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbiran institusi kehakiman syariah di dalam negara ini, dan kemampuannya dalam mendepani isu-isu perundangan yang kontroversial, sambil disulami gelombang pemikiran yang lebih kritis dari masyarakat.

    “Sekiranya rakyat memiliki persepsi yang negatif terhadap institusi kehakiman syariah dan warganya, akibat daripada dicemari isu rasuah dan salah guna kuasa maka bukan sahaja martabat dan maruah institusi kehakiman syariah di negara ini akan terkesan malah kesucian agama Islam itu sendiri pasti akan tercalar juga,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.

    BR merupakan inisiatif baharu yang dipelopori SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar serta janji yang dibuat oleh para kepimpinan sesebuah organisasi dan warganya dalam kapasiti sebagai individu.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM, YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pendaftar JKSM Yang Berusaha Tuan Mohamad Shakir Abdul Hamid.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    13 FEBRUARI 2017

      JKSM Badan Kehakiman Pertama Tandatangani IBR PDF
  • JPJ Tandatangani Memorandum Persefahaman dan IBR Bersama SPRM

    PUTRAJAYA,15 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini sebagai usaha membenteras rasuah dan salahguna kuasa di jabatan berkenaan.

    Langkah ini merupakan inisiatif yang dapat menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi JPJ dalam menyokong usaha-usaha pencegahan rasuah bagi memastikan JPJ menjadi organisasi yang diyakini dan dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai agensi yang bersih serta bebas rasuah dan salahguna kuasa.

    MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) dan Dato’ Seri Nadzri Siron, Ketua Pengarah JPJ.

    Pada majlis tersebut, JPJ turut melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha mencegah berlakunya rasuah dan salahguna kuasa dalam organisasi mereka sekaligus menyokong inisiatif baru yang diperkenalkan oleh SPRM. Lafaz ikrar tersebut diketuai oleh Dato’ Seri Nadzri, Ketua Pengarah JPJ. 

    Majlis yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan ini disaksikan oleh YB Datuk Ab Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.

    Dengan MoU yang telah dimeterai ini, kerjasama antara SPRM dan JPJ akan dapat dilaksanakan secara berterusan dan lebih berstruktur.

  • JPN Pulau Pinang Tingkatkan Integriti Dengan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

    Pulau Pinang,11 Mei – Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang (JPN) hari ini telah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis yang bertempat di Bilik Mesyuarat JPN Negeri Pulau Pinang di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, Pulau Pinang.

    Seramai 45 orang kakitangan (JPN) Pulau Pinang telah mengikuti ikrar tersebut yang diketuai oleh Pengarah JPN Pulau Pinang, Puan Nur Zulfa Ibrahim dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pulau Pinang, PKPj Awngkok Ahmad Taufik Putra. Simbolik penyerahan ikrar tersebut juga telah dibuat Puan Nur Zulfa kepada PkPj Awngkok Ahmad Taufik Putra.

    Inisiatif IBR ini merupakan usaha untuk menanam integriti dalam pegawai-pegawai supaya menjalankan tugas dengan amanah tanpa terjebak dalam sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai dari Unit Pencegahan SPRM Pulau Pinang.

  • Kabinet Sarawak Kerajaan Negeri Pertama Tandatangani IBR

    KUCHING, 25 Januari – Anggota Kabinet Sarawak, diketuai oleh Ketua Menteri, Ybhg. Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah melakar sejarah pada hari ini dengan menjadi kerajaan negeri pertama yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption-Free Pledge yang diperkenalkan oleh SPRM.

    Majlis yang disertai oleh barisan Menteri dan Menteri Muda Sarawak yang baru dilantik ini disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.

    Inisiatif ini sekaligus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan pentadbiran dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

    IBR merupakan satu lagi usaha baru yang diperkenalkan oleh SPRM yang menekankan ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

    SPRM berharap inisiatif ini dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap SPRM dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha berterusan untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

  • Ke Arah Sukan Negara Bebas Rasuah - Pemimpin-Pemimpin Badan Sukan Lafaz IBR

    KUALA LUMPUR, 18 April – Usaha membasmi unsur rasuah dalam arena sukan dipertingkatkan lagi dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh pemimpin-pemimpin badan sukan kebangsaan di sini hari ini.

    Majlis melafaz dan menandatangani IBR ini telah diketuai oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo di hadapan Menteri Belia dan Sukan, Brig. Jen. Khairy Jamaluddin dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dato’ Zaiton Othman.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Haji Azam Baki yang hadir selaku saksi pada majlis ini berkata, “Rasuah melibatkan organisasi sukan tidaklah begitu serius dan masih lagi terkawal”.

    “Tetapi, dengan usaha menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, ada usaha untuk kita mencegah sebelum ia berlaku dengan lebih teruk,” katanya selepas program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan Bersama Pemimpin-Pemimpin Badan Sukan Kebangsaan’ di Institut Sukan Negara (ISN).

    Hadir bersama dalam program tersebut ialah Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme, Dato’ Rohaizad Yaakob dan Pengarah Bahagian Keselamatan, KPKPj Mohammad Soib Haji Abdullah.

  • Kelantan komited dengan usaha pembanterasan rasuah menerusi IBR

    Kelantan komited dengan usaha pembanterasan rasuah menerusi IBR

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan tahniah dan syabas kepada barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Kelantan atas komitmen menyokong penuh usaha pembanterasan rasuah oleh SPRM dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

    Majlis Menandatangani dan Melafazkan IBR yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan hari ini, diketuai oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob dan diikuti Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Ex-Officio sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

    Datuk Dzulkifli berkata, pelaksanaan IBR oleh kerajaan negeri Kelantan merupakan manifestasi sokongan jelas kerajaan negeri terbabit kepada usaha SPRM bagi memastikan Kelantan khususnya dan Malaysia secara amnya sentiasa bersih dan bebas daripada gejala rasuah.

    “Sesebuah kerajaan yang gagal memberi perkhidmatan yang efisien kerana dilingkari dan dicemari dengan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa tentu akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat dan seterusnya mengundang kemerosotan prestasi yang akan menghambat pembangunan dan kesejahteraan rakyat", jelas Datuk Dzulkifli.

    Majlis IBR tersebut disertai seramai 16 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Ex-Officio. Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan turut menggandakan komitmen membanteras rasuah dengan menyertai Sahabat GERAH SPRM sejurus selepas menandatangani IBR.

    Sahabat GERAH SPRM dilancarkan pada 1 Ogos lalu oleh Datuk Dzulkifli bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan SPRM dalam memerangi gejala rasuah.

    Dalam pada itu, Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan dan Negeri Kelantan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan turut melafaz dan menandatangani IBR pada dua Majlis yang berbeza yang diadakan bermula semalam.

    Lebih 400 individu yang mewakili hampir 50 NGO meliputi seluruh Kelantan telah menzahirkan komitmen masing-masing menerusi IBR serta berikrar akan terus menjadi mata dan telinga SPRM dalam membendung gejala rasuah daripada terus berleluasa.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    KOTA BHARU

    16 OGOS 2017

     Kelantan komited dengan usaha pembanterasan rasuah menerusi IBR PDF