• SPRM Gesa Orang Ramai Tidak Terperdaya Individu Menyamar Pegawai SPRM

    SPRM Gesa Orang Ramai Tidak Terperdaya Individu Menyamar Pegawai SPRM

    Kebelakangan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima banyak maklumat bahawa terdapat individu-individu menyamar sebagai pegawai SPRM yang kononnya boleh menyelesaikan kes-kes SPRM.

    Individu-individu ini dipercayai telah menggunakan nama pegawai kanan SPRM dan meminta sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan kes-kes tersebut.

    Individu-individu terbabit mendakwa mereka boleh menyelesaikan kes-kes SPRM yang masih dalam siasatan, perbicaraan mahkamah serta membersihkan nama mereka yang terdapat dalam senarai siasatan SPRM.

    Sehubungan itu, SPRM berharap agar orang ramai tidak terperdaya dengan dakwaan seperti itu dan meminta mereka menghubungi SPRM terlebih dahulu untuk mengesahkan perkara tersebut.

    SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan nama pegawaipegawai SPRM bagi kepentingan diri sendiri dan siasatan akan dijalankan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan ke atas mereka.

    SPRM telah mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dalam perbuatan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan imej SPRM.

    Dalam pada itu, jika mana-mana individu yang terlibat gagal melaporkan perkara tersebut kepada SPRM, tindakan akan diambil ke atas mereka atas kesalahan bersubahat.

    Mereka yang ingin mengesahkan dan menyalurkan maklumat berhubung perkara tersebut, boleh menghubungi pegawai-pegawai SPRM Tuan Fadzil Amin (019-6000981) dan Tuan Ahmad Nizam Ismail (019-4401112) atau email terus ke azam@sprm.gov.my.

    DATO’ AZAM BAKI

    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)

    PUTRAJAYA

    3 FEBRUARI 2017

      PDF