• Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Didakwa Terlibat Rasuah RM80,000

    Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Didakwa Terlibat Rasuah RM80,000

    Seorang bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, Shah Alam hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang rasuah berjumlah RM80,000 untuk kepentingan diri sendiri tiga tahun lalu.

    Tertuduh, Zailan Jauhari, 47, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

    Pertuduhan dibacakan di depan Hakim Asmadi Hussin.

    Mengikut pertuduhan, suspek didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 dan sekeping cek bernilai RM80,000 daripada seorang individu sebagai upah bagi membantu Syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya mendapatkan tender kerja-kerja pembersihan sekolah Zon 2 dan Zon 4 di Kuala Selangor daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Mak Engku Steamboat & Grill di alamat No 2 Jalan Bendahara ½,Taman Bendahara, Kuala Selangor pada 8 Januari 2014.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Hakim Asmadi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Selangor pada hari Isnin minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 13 Februari 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohammed Heikal Ismail.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    2 FEBRUARI 2017

     Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Didakwa Terlibat Rasuah RM80,000 PDF