• Bekas CEO Dituduh Lakukan Penggubahan Wang Haram, Pecah Amanah

    Bekas CEO Dituduh Lakukan Penggubahan Wang Haram, Pecah Amanah

    SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan melakukan kesalahan pecah amanah kira-kira RM1.2 juta dan penggubahan wang haram berjumlah RM105,000 berhubung hasil royalti pasir syarikat, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Rizam Sahar, 36, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memindahkan wang RM105,000 daripada akaun Public Bank miliknya melalui dua keping cek masing-masing bernilai RM100,000 dan RM5,000 ke dalam akaun RS Star Contractors & Construction Sdn Bhd dipercayai hasil aktiviti haram.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda 5 kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta; mana yang lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah bernilai RM 1.249 juta berhubung hasil royalti pasir Syarikat Gabungan Dinamik Wilayah JB Sdn Bhd dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun miliknya.

    Bagi kesalahan tersebut, beliau didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat dan denda.

    Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara bulan November 2014 sehingga Mac 2015 di Public Islamic Bank, Cawangan Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor.

    Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Tarikh sebutan semula kes pada 1 Februari 2017.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Hafiz Halil.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    15 DISEMBER 2016

    Bekas CEO Dituduh Lakukan Penggubahan Wang Haram, Pecah Amanah  PDF
  • Bekas CEO THHE Disiasat SPRM, Didakwa Pecah Amanah RM2.5 Juta

    Bekas CEO THHE Disiasat SPRM, Didakwa Pecah Amanah RM2.5 Juta

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Heavy Engineering (THHE) Bhd. yang pernah ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November tahun lalu, didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang bernilai RM2.5 juta di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Tertuduh, Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi, 51 yang ditahan semula oleh SPRM semalam, memohon untuk dibicarakan atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, Nor Badli Munawir sebagai CEO THHE telah melakukan pecah amanah terhadap lima keping cek masing-masing bernilai RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 dan RM575,800 pada tarikh berasingan.

    Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di pejabat THHE Fabricators Sdn. Bhd. Tingkat 23, Tower B, Menara UOA Bangsar antara April hingga Oktober 2013.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat serta boleh dikenakan denda.

    Hakim Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ialah pada 15 Mac 2017. Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya S.Thangavelu.

    Pada 15 November 2016, tertuduh telah direman selama tujuh hari oleh SPRM selepas dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan kuasa dan menerima wang suapan.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    26 JANUARI 2017

    Bekas CEO THHE Disiasat SPRM, Didakwa Pecah Amanah RM2.5 Juta  PDF