• SPRM Pelbagaikan Platfom: Sebar Luas Mesej Anti-Rasuah Menerusi ASTRO Dan Program Realiti Pencetus Ummah.

    SPRM Pelbagaikan Platfom: Sebar Luas Mesej Anti-Rasuah Menerusi ASTRO Dan Program Realiti Pencetus Ummah.

     

    Buat julung kalinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan stesen televisyen Astro dalam Program Realiti Pencetus Ummah (PU).

    Program PU Musim Keempat ini menjadi pilihan untuk SPRM menjalin kerjasama dengan Astro untuk menyebar luas mesej pencegahan rasuah dan pembinaan integriti yang jitu di kalangan umat Islam negara ini.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil percaya bahawa pendekatan SPRM dalam menyampaikan mesej harus pelbagai, tidak mengira platform, sama ada secara bersemuka (face to face), perkumpulan atau melalui pelbagai medium lain asal ianya pantas, ringkas namun meninggalkan kesan berpanjangan di hati nurani penerima.

    “Diharapkan melalui program sebegini, pendidikan dalam pencegahan rasuah dapat disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat dan menerusi PU juga kerana impaknya yang agak besar kepada masyarakat” tambah beliau lagi .

    PU adalah program Islamik yang mencatatkan rating penonton sebanyak 1.5 juta pada Episod Finalnya pada tahun 2015 dan pernah dinobat sebagai Program Agama Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2016

    SPRM menyampaikan penghargaannya kepada Astro kerana bersetuju menyiarkan ‘content’ atau kandungan program yang bakal mengupas dan mendedahkan pelbagai aspek mengenai integriti diri, rasuah dan pencegahannya dengan menyorot kisah teladan dari masa kini sehingga ke zaman Rasullullah saw dan para sahabatnya.

    Jalinan ‘content’ itu termasuk pengupasan topik di mana dalam setiap satu episod, satu soalan berkaitan isu di atas akan disediakan yang mana harus dijawab dengan bernas oleh salah seorang peserta PU. Program ini terdiri dari tujuh episod termasuk di peringkat akhir.

    Dalam pada itu, seorang tetamu khas dari SPRM turut akan dijemput untuk menyampaikan tazkirah berkaitan pencegahan rasuah dalam salah satu episod.

    Satu episod “Tanyalah PU” akan diperuntukkan untuk peserta mengupas lebih lanjut soalan-soalan berkaitan dengan topik yang diberi SPRM untuk memberi peluang kepada penonton Astro mendalami isu-isu berkaitan rasuah.

    Selain daripada kandungan program, Astro juga berkongsi platform Media Sosial nya termasuk followersdi Facebook dan Astro Gempak untuk mempercepatkan penyebaran mesej yang ingin disampaikan oleh SPRM.

    Mimbar PU akan bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD, 9 malam, selama tujuh minggu, bermula 27 Oktober ini.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    21 OKTOBER 2016

     SPRM Pelbagaikan Platfom: Sebar Luas Mesej Anti-Rasuah Menerusi ASTRO Dan Program Realiti Pencetus Ummah PDF