• Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Baharu

     

    Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah PersekutuanPutrajaya Baharu

    DATUK Haji Abd. Aziz Aban secara rasminya mengambil alih jawatan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

    Pelantikan beliau adalah untuk menggantikan Dato’ Moh Samsudin Yusoff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan berkuat kuasa semalam.

    Beliau ketika memberi ucapan dalam Majlis Penyerahan Tugas di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, diharapkan pelantikannya dapat menyumbang semula amalanamalan baik yang telah dipraktikkan oleh Moh Samsudin khususnya dari segi disiplin pegawai.

    Jelasnya, pengamalan disiplin yang bagus sangat penting bagi setiap pegawai SPRM bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang.

    Dalam pada itu, Moh Samsudin dalam ucapannya berkata, beliau berharap semua pegawai di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Abd. Aziz dan melaksanakan tugas dengan baik.

    Ujar beliau, kaedah penyiasatan di Putrajaya adalah berbeza berbanding tempat lain kerana ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi.

    Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa semalam.

    Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Simi Abd. Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Dato’ Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Dato’ Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    16 MAC 2016

    Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Baharu   PDF
  • Bekas Pengurus Kanan Syarikat Swasta Hadapi 115 Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu Bernilai RM101.6 Juta

    Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru hari ini terhadap 115 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM101.64 juta bagi pembelian produk resin plastik, antara Disember 2014 dan Mei 2015.

    Foo Tseh Wan, 39, didakwa mengemukakan dokumen iaitu pesanan pembelian mengandungi butir-butir matan palsu dengan niat hendak memperdaya Timbalan Pengurus Besar Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd, Eiichi Hasegawa.

    Berdasarkan pertuduhan, Foo didakwa mengemukakan 115 pesanan pembelian kepada tiga syarikat pembekal untuk syarikat terbabit membekalkan produk resin plastik keseluruhannya bernilai RM101.64 juta, yang mana terdapat kelulusan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd Johor Liason Office di ruangan 'Authorized Signatory' pesanan pembelian sedangkan kelulusan tersebut tidak diberikan oleh Hasegawa.

    Tiga syarikat pembekalan tersebut adalah Mepcom Polymer Sdn Bhd, JB Advance Plastic Marketing Sdn Bhd dan Sors Polymer Sdn Bhd.

    Foo didakwa mengemukakan pesanan pembelian terbabit menerusi dua eksekutif jualan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit 20.01 A, Tingkat 20 Menara MAA, Jalan Datuk Abdullah Tahir, Johor Bahru antara 19 Disember 2014 dan 7 Mei 2015.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noorfazlin Hamdan.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    8 MAC 2016

    Bekas Pengurus Kanan Syarikat Swasta Hadapi 115 Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu Bernilai RM101.6 Juta  PDF
  • KUISAS Agensi Ke 931 Tandatangani CIP, SPRM Perluas Kerjasama Perangi Rasuah Bersama IPT

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan kerjasama memerangi rasuah bersama institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara menerusi Ikrar Integriti Korporat (CIP).

    Terbaharu, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan menandatangani CIP di Kuala Kangsar, hari ini.

    KUISAS muncul sebagai agensi ke 931 di seluruh negara serta IPT pertama di negeri Perak yang menyahut usaha dan inisiatif SPRM tersebut pada tahun ini.

    Bagi pihak KUISAS, CIP ditandatangani oleh Rektor KUISAS, Y. Bhg. Tan Sri Prof. Dr. Nordin Bin Kardi manakala SPRM diwakili oleh Pengarah SPRM Perak, Ybhg. Dato’ Nooraziah Abd. Manaf serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Y. Bhg. Dato’ Sri Hj Mustafar Bin Hj Ali.

    Pada majlis tersebut, Nordin turut mengetuai seramai kira-kira 320 warga KUISAS melafazkan ikrar integriti.

    Sementara itu, Mustafar berkata, CIP yang merupakan jalinan kerjasama antara mana-mana agensi dan SPRM untuk membanteras rasuah perlu dijadikan sebagai satu komitmen dan bukan majlis menandatangani semata-mata.

    Beliau berkata, SPRM sentiasa menggalakkan mana-mana agensi untuk menandatangani CIP kerana usaha mencegah rasuah itu merupakan tanggungjawab semua pihak.

    Dalam pada itu, Nordin berkata, KUISAS tidak mahu ketinggalan dalam usaha membanteras rasuah dan berhasrat agar langkah proaktif begini dapat mempertingkatkan mutu tadbir urus khususnya urusan perolehan.

    Terdapat lima prinsip dalam ikrar berkaitan CIP iaitu mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik; memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemenelemen yang menyokong pencegahan rasuah; dan pematuhan undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah.

    Selain itu, prinsip CIP turut mencakupi usaha membanteras sebarang bentuk amalan rasuah dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    KUALA KANGSAR

    16 MEI 2016

    KUISAS Agensi Ke 931 Tandatangani CIP, SPRM Perluas Kerjasama Perangi Rasuah Bersama IPT  PDF
  • Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed

    Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed

    JAWAPAN KEPADA SOALAN:

    1. Bulan Ogos tahun ini, kita dapat tahu Tan Sri telah ambil cuti untuk buat satu pembedahan, lepas itu telah timbul banyak spekulasi. Saya ingin bertanya Tan Sri, apakah pembedahan yang telah dijalani?

    Saya telah menjalani satu pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di bahagian saraf tunjang. Pembedahan ini terpaksa dijalankan dengan segera atas nasihat doktor selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun saya telah meminta ia ditangguhkan tetapi pakar perubatan kata tidak boleh, dan perlu dijalankan dengan segera. Sebab itu, pada 7 Ogos lalu, pembedahan dijalankan. Secara kebetulan ketika itu, SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung kes SRC International dan isu dana RM2.6 bilion, dan ada isu politik seperti rombakan Kabinet dan sebagainya. Susulan pembedahan itu, saya telah diminta supaya berehat cuti sakit selama dua bulan, di mana saya kembali bertugas pada pertengahan bukan Oktober. Saya masih dalam pemantauan doktor.

    2. Adakah doktor telah memberi cadangan buat pembedahan ini sejak awal lagi, tapi Tan Sri tangguh sampai Ogos baru jalani pembedahan ini? Apakah sebab Tan Sri sanggup menangguhkan dan pilih buat pembedahan ini sebab tak boleh tangguhkan lagi?

    Memang ada perancangan untuk membuat pembedahan awal tetapi disebabkan faktor kerja dan tugas, saya terpaksa menangguhkan buat sementara dengan mengambil ubat penahan sakit, bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada kes-kes yang sedang disiasat ini. Ketika perbincangan selepas Hari Raya Aidilfitri, semasa perbincangan Task Force, saya ada memaklumkan Tan Sri Gani Patail (Peguam Negara ketika itu) dan Tan Sri Zeti (Gabenor Bank Negara) bahawa saya akan pergi untuk menjalani pembedahan dalam dua minggu lagi. Apabila sakit semakin teruk, atas nasihat pakar, saya terpaksa menjalani pembedahan pada bulan Ogos.

    3. Sebelum dan selepas pembedahan ini, adakah ia memberi hikmah atau memberi inspirasi kepada cara kehidupan dan pemikiran Tan Sri?

    Sudah tentu satu-satu kejadian atau perkembangan akan memberi hikmah kepada kehidupan kita. Ia akan memberi panduan berkenaan gaya hidup, makanan dan sebagainya. Ini perkara biasa dalam kehidupan kita. Kita pun ada membaca bagaimana pembedahan atau rawatan kesihatan akan memberi panduan kepada pergerakan seharian selepas itu.

    4. Pada 4 Januari 2010, Tan Sri telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Apa yang Tan Sri rasakan tentang perjalanan dalam tempoh lima tahun ini?

    Saya telah melakukan yang terbaik bagi SPRM. Saya berkhidmat dalam bidang ini, sebagai pegawai penyiasat pencegahan rasuah sejak lebih 30 tahun. Dengan berbekalkan kepada pengalaman dan pengetahuan ini, dan apabila saya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya telah cuba melakukan yang terbaik dengan sokongan pegawai-pegawai saya dan semua pihak yang lain, dalam memimpin SPRM.

    Saya gembira kerana telah berjaya membawa pembaharuan-pembaharuan dalam organisasi ini menerusi program transformasi. Susulan pembentukan SPRM bagi menggantikan BPR, kita telah melaksanakan lebih 30 inisiatif di bawah program transformasi sejak tahun 2011.

    Kita mendapati kadar sabitan telah meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2009, kepada sekitar 80 peratus pada masa sekarang. Kadar keyakinan masyarakat juga telah meningkat dua kali ganda berbanding hanya sekitar 30 peratus pada tahun 2009. Bilangan kes yang dapat selesai disiasat pada tahun yang sama (dalam tempoh 12 bulan) pada masa sekarang telah mencapai 85 peratus. Saya nampak ada peningkatan dan kemajuan yang memuaskan. Tetapi, kita perlu terus berusaha untuk menjadikan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah terbaik di dunia. Badan dunia seperti UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime), pada tahun 2013, telah mengiktiraf 23 kejayaan dan amalan baik Malaysia dan SPRM dalam pencegahan rasuah. Malaysia dan SPRM satu-satunya negara yang mempunyai jumlah kejayaan dan amalan baik yang banyak hasil dinilai oleh UNODC. Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) kami juga diiktiraf oleh UNDOC sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.

    5. Dalam tempoh ini, Tan Sri rasa, apa cabaran yang paling getir dihadapi semasa memimpin SPRM? Adakah persepsi umum terhadap SPRM juga adalah satu cabaran yang amat besar?

    Sudah pasti persepsi adalah satu cabaran yang paling besar. Kita seringkali berhadapan dengan cabaran yang dikenali sebagai "persepsi". Saya rasa bukan SPRM sahaja, tetapi mana-mana agensi penguatkuasaan pun berhadapan dengan cabaran ini. Kita perlu bezakan antara persepsi dan realiti. SPRM melakukan yang terbaik untuk mengatasi isu persepsi. SPRM akan terus meningkatkan usaha menjelaskan kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan SPRM. Saya mendapati apabila kami berjumpa dan menjelaskan isu-isu semasa, termasuk kepada ahli-ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan, mereka faham, dan persepsi negatif dapat dibaiki.

    Cabaran-cabaran ini akan sentiasa ada. Cabaran untuk meningkatkan tahap profesionalisme kerja, pengetahuan dan skil mengenai cara-cara kerja yang terkini, mengadakan undang-undang terkini yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Sudah pasti perkembangan semasa yang membabitkan siasatan berkaitan SRC International dan dana RM2.6 bilion satu cabaran besar, lebih-lebih lagi apa yang berlaku ke atas SPRM sejak beberapa bulan yang lalu. Apa pun ini, tugas dan tanggungjawab kami di SPRM adalah menjalankan siasatan mengikut undang-undang, khususnya Akta SPRM 2009. Jadi, saya telah menasihatkan pegawai-pegawai saya, apa pun cabaran dan persepsi, kita perlu melakukan tugas sebagai pegawai SPRM dengan adil, bebas dan profesional. Ini penting. Saya yakin semua pihak akan faham perkara ini, dan terus memberi sokongan kepada SPRM untuk menjalankan tugas kami. SPRM memerlukan sokongan dan kerjasama semua. Jika tidak, kita tidak boleh berjaya dengan berkesan dalam usaha memerangi rasuah.

    6. Berdasarkan maklumat yang kita dapat, kontrak Tan Sri hanya sampai tahun 2016. Jika kontrak disambung, keadaan kesihatan Tan Sri, adakah ia akan jadi salah satu sebab utama nak teruskan kontrak atau tidak? Jika tidak disambung kontrak, adakah Tan Sri telah ada buat rancangan selepas bersara?

    Kontrak saya bukan habis pada tahun 2016, tetapi tahun 2018 manakala tempoh bersara dari perkhidmatan pula Disember 2020. Saya akan terus memimpin SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya selagi saya sihat. Saya masih anggota satu pasukan bernama SPRM. Saya tidak akan berhenti atas alasan arahan atau tekanan mana-mana pihak. Saya hanya akan berhenti jika keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Selagi tahap kesihatan saya OK, saya akan meneruskan peranan sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan terus mengetuai SPRM.

    7. Tan Sri, isu 1MDB dari dulu telah dibawa oleh pembangkang, dan tiba-tiba jadi isu yang dibincang oleh orang ramai. Lepas itu kerjaaan telah buat keputusan tubuhkan satu special task force yang terdiri dari IGP, AG, SPRM dan Bank Negara. SPRM hanya fokus dalam menyiasat SRC. Jadi, adakah Tan Sri rasa ia adalah salah satu siasatan yang mempunyai cabaran yang sangat tinggi?

    Sudah pasti satu cabaran yang besar sebab kali pertama kami menyiasat seorang perdana menteri dengan mendalam. Tetapi SPRM telah, sedang dan akan menyiasat setiap kes yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Kita tidak boleh siasat kes-kes yang tidak ada merit untuk disiasat di bawah Akta SPRM.

    8. Kita boleh lihat, tidak kira pembangkang, kerajaan, media, orang ramai dan pengguna sosial media juga ada pandangan yang berbeza, keputusan belum keluar. Tetapi sudah ada yang telah lompat buat kesimpulan. Adakah ini buat Tan Sri rasa "pening kepala"?

    Pening kepala? Tidak. Seperti lazimnya, SPRM akan menyiasat setiap kes yang ada merit untuk disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Ini penting untuk difahami oleh semua pihak. SPRM hanya akan menjalankan siasatan. Sebaik siasatan selesai, kami akan mengemukakan laporan hasil siasatan kepada Pendakwa Raya iaitu Peguam Negara untuk memutuskan sama ada kes atau tidak untuk dibawa ke mahkamah. Kami akan melakukan dengan bebas, telus dan profesional. Jangan buat spekulasi atau keputusan.

    Oleh kerana persepsi seperti ini, saya setuju dengan pandangan dan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM. Dalam Laporan Tahunan 2014 yang dikemukakan kepada kerajan dan Parlimen pada awal bulan ini, Jawatankuasa ini ada mengesyorkan supaya sebuah panel bebas khas dibentuk bagi meneliti syor-syor yang dibuat oleh SPRM berhubung kes-kes profil tinggi seperti SRC International, sebelum dibawa kepada Pendakwa Raya. Saya percaya tindakan ini akan membantu mengelakkan persepsi atau tanggapan negatif yang anda maksudkan ini.

    9. Apakah cabaran yang paling besar yang Tan Sri rasa, semasa bekerjasama dengan special task force ini?

    Tidak ada cabaran besar. Cuma koordinasi skop siasatan.

    10. Dalam keadaan yang mempunyai banyak andaian dan "kesimpulan" yang telah dibuat, cara yang telah diambil oleh Tan Sri untuk menyelesaikan masalah ini, yang telah "dipolitikkan" dan beri satu mesej yang jelas, siasatan ini dijalankan secara bebas?

    Sekali lagi, sebagaimana saya sebutkan tadi, SPRM menjalankan siasatan berkaitan dengan SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan bebas, telus dan profesional, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. SPRM juga dipantau oleh lima badan bebas. Pengurusan Tertinggi ditanya mengenai perkembangan siasatan atau isu-isu semasa berkaitan kes yang dijalankan. Kami perlu melapor kepada badan-badan bebas ini, yang kesemua ahli lebih 40 orang termasuk ahli-ahli Parlimen dari BN, DAP, PAS dan PKR. Justeru, jangan politikkan urusan siasatan SPRM. Sekali lagi, saya memberi jaminan siasatan sedang dan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. SPRM sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas. [Untuk makluman selain Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, empat badan bebas yang lain yang memantau perjalanan SPRM adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah].

    11. Apa yang kita nampak, selepas SPRM tegaskan siasatan SRC akan diteruskan, dulu ada yang mengkritik SPRM, macam telah tukar pandangan mereka, dan menyokong pendirian yang dinyatakan oleh SPRM. Tan Sri ada rasa tak, siasatan terhadap SRC telah ada mengubah sedikit imej SPRM di public eye?

    Sekarang rakyat dan orang ramai sudah faham tentang fungsi dan tugas SPRM. Ini yang penting. Apabila mereka faham skop perundangan kami, maka persepsi yang mengatakan SPRM tidak bebas, dan bersikap selektif dalam siasatan, sudah tidak wujud, atau sudah menurun. Ini penting bagi agensi penguatkuasaan seperti kami. Sebagai Ketua Pesuruhjaya saya memberi jaminan SPRM akan melakukan terbaik mengikut semangat Akta SPRM 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong SPRM dalam memastikan setiap siasatan berjalan dengan lancar, bebas dan profesional. Semua ini adalah hasil program 'engagement' SPRM dengan 'stakeholder' di semua peringkat sejak tiga tahun yang lalu. SPRM juga amalkan dasar atau pendekatan Merakyatkan SPRM. Dasar ini akan diteruskan pada tahun 2016.

    Itu yang kita kata dari dulu lagi. Kerja kita ialah menjalankan siasatan sahaja. Bila SPRM kata kita bebas, bermakna kita bebas menjalankan siasatan ke atas siapa sahaja yang melakukan perbuatan rasuah.

    12. Tahun ini kita lihat banyak perkara telah berlaku ke atas SPRM, ada siasatan SRC yang jadi fokus orang ramai, ada Tan Sri telah ambil cuti untuk menjalani pembedahan dan wujud banyak spekulasi lagi, lepas itu juga berlaku ada pengawai telah diarahkan tukar ke tempat lain. Bagaimana Tan Sri sendiri lihat keadaan ini, adakah ia telah menjejaskan kaki angan yang bekerja dengan SPRM?

    Memang ada gangguan, tetapi tidak menjejaskan siasatan kami. Serba sedikit pertukaran dua pengarah, keputusan yang telah dibatalkan kemudian, ada menjejaskan semangat dan moral pegawai-pegawai SPRM. Perkara-perkara ini berlaku semasa menjalani pembedahan dan cuti sakit. Saya mengucapkan terima kasih kepada timbalan-timbalan saya yang telah membantu menguruskan perkara ini semasa ketiadaan saya. Berhubung perkara pertukaran dua pengarah ini, kes ini sepatutnya tidak berlaku.

    SPRM sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas. Ia juga selaras dengan Konvensyen Pencegahan Rasuah PBB (UNCAC) di mana Malaysia adalah satu negara yang telah menandatangani dan menerima pakai UNCAC. Bermakna SPRM perlu bertindak dengan bebas. Selepas dua tiga bulan ini, saya mendapati keadaan sudah kembali normal, semangat pegawai-pegawai SPRM pun meningkat. Jadi, saya sendiri telah menasihatkan pegawai-pegawai saya supaya menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut, kita kena memenuhi harapan rakyat, yang diturunkan menerusi Akta SPRM 2009. Tugas SPRM adalah mencegah rasuah. Tugas mencegah rasuah bukan mudah. Cabaran tetap ada, dan kita perlu harungi cabaran ini.

    13. Adakah mereka ada beri sokongan dan suntikan yang besar kepada Tan Sri , dan bagaimana Tan Sri hantar mesej kepada mereka semua, team SPRM masih bersatu dalam menghadapi cabaran yang dihadapi?

    Ada, mereka terus beri sokongan. Semasa saya berada di hospital mereka telah adakan majlis doa selamat. Hantar SMS dan sebagainya. Baru-baru ini, kita mengadakan Konvensyen SPRM, mereka minta saya dan Dato Sri Shukri Abdull (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi), meneruskan perjuangan memerangi rasuah sehingga hari terakhir perkhidmatan. Ini semua menunjukkan kami di SPRM bersatu hati, ada kesatuan hati. Saya juga menasihatkan pegawai-pegawai teruskan kesatuan dan semangat berpasukan ini walau apa pun cabaran dilalui dan dihadapi. Kedudukan SPRM sebagai sebuah badan bebas perlu dipertahankan demi negara dan rakyat.

    14. Adakah Tan Sri rasa ini, adalah cabaran yang paling besar terhadap SPRM?

    Yeah, saya setuju. Perkembangan semasa ini adalah cabaran paling getir dalam sejarah SPRM dan BPR, dalam tempoh 48 tahun sejak agensi pencegahan rasuah di Malaysia dibentuk.

    15. SPRM selalu dituduh hanya siasat ikan kecil, tapi mereka nampak SRC ini adalah ikan besar, bagaimana SPRM boleh beri keyakinan kepada orang ramai, SPRM bukan hanya kali ini tangkap ikan besar sahaja?

    SPRM siasat setiap kes rasuah. Tidak kira ikan kecil atau ikan besar (jerung). Undang-undang kata SPRM perlu siasat kes-kes rasuah. Tidak kira siapa mereka, kedudukan orang yang disiasat. Sekarang kita siasat kes SRC International. Kita pernah siasat orang awam, pernah siasat ketua menteri dan menteri besar, menteri dan sebagainya. Apa yang penting SPRM menjalankan siasatan dengan bebas, profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Jika ada bukti dan asas untuk dicaj, kita bawa ke mahkamah.

    16. Ada apa mesej yang Tan Sri ingin sampaikan kepada orang ramai?

    SPRM akan cuba menyelesaikan siasatan kedua-dua kes yang penting, yang sedang dijalankan sekarang ini, sebelum akhir tahun ini. Kami akan menghantar kepada Peguam Negara laporan hasil siasatan apabila selesai siasatan kelak. Ini tanggungjawab besar kami. SPRM hendak memaklumkan bahawa siasatan akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

    SPRM hanya sebuah agensi pencegahan rasuah, yang menjalankan tugas mengikut undang-undang. Saya selalu katakan kepada mereka yang mengkritik, jangan 'tembak' kami sebagai agensi pencegahan rasuah, sebaliknya 'tembak' mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah. Kesan buruk rasuah adalah ke atas rakyat dan negara.

    Sebagai agensi penguatkuasaan, kami hanya boleh siasat mengikut skop undang-undang yang ada. Kita tidak boleh melanggar undang-undang dengan menyiasat perkara-perkara yang tidak boleh. Oleh itu, saya minta ahli-ahli politik dan mereka yang merasakan ada kekurangan dari segi perundangan supaya bawa syor pindaan undang-undang ke Parlimen. Badan-badan bebas yang memantau SPRM pun ada mengemukakan banyak syor, termasuk pindaan Seksyen 23 dan 36, pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah, dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    23 DISEMBER 2015

     

    Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed   
  • SPRM Bongkar Sindiket Seleweng Dana Kerajaan Lebih RM100 Juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu sindiket yang menyeleweng dana Kerajaan Persekutuan membabitkan sebuah kementerian, yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih kurang RM100 juta.

    Sindiket itu dibongkar dalam satu operasi khas yang diadakan oleh Ibu Pejabat SPRM pada 17 Mac 2016.

    Setakat ini, sembilan orang telah ditangkap. Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita. Salah seorang yang ditangkap merupakan pegawai kanan kementerian berkenaan, berjawatan  Setiausaha Bahagian. Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 18 Mac 2016 bagi membantu siasatan.

    Siasatan SPRM menunjukkan sindiket ini menggunakan modus operandi mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian terbabit membuat bayaran kepada tidak kurang dari 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini bagi program-program yang diwujudkan walhal kerja-kerja dimaksudkan tidak pernah dilaksanakan. Tiada sebarang tuntutan dikemukakan oleh syarikat-syarikat itu kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan berkenaan memainkan peranan bagia memastikan  bayaran dibuat kepada syarikat-syarikat terbabit.

    Kemudian, dalam peratusan tertentu, pegawai kanan berkenaan menerima imbuhan daripada pihak syarikat dan ada di antaranya dibayar melalui cek ke akaun peribadi pegawai kanan.

    Hasil siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan sindiket ini telah berlaku sejak tahun 2010. SPRM tidak menolak kemungkinan ia telah berlaku beberapa tahun sebelum itu. Justeru, siasatan akan terus dijalankan.

    Siasatan setakat ini menunjukkan wang kerajaan yang telah diselewengkan sekurang-kurang RM100 juta dalam tempoh berkenaan.

    Selain itu, pegawai kanan terbabit menerima habuan-habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta-kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, penggunaan kemudahan kad kredit supplementari, pengubahsuaian rumah.

    Pegawai kanan terbabit dipercayai hidup mewah sehingga mampu membeli jam-jam tangan berjenama, yang satu daripadanya mencecah harga tidak kurang dari RM400,000, barang-barang kemas yang banyak dan ada yang bernilai tidak kurang RM600,000, ‘beddings’ bernilai lebih RM300,000, foto hiasan bernilai lebih RM60,000 dan beg-beg tangan berjenama dan ada yang berharga RM400,000.

    Dianggarkan beliau menerima suapan mencecah keseluruhan RM20 juta selain kerap ke luar negara bersama anggota keluarga hingga mampu menggunakan penerbangan ‘First Class’ setiap seorang.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan juga Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiyaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    SPRM telah membekukan sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta dan harta lain seperti rumah serta menyita kenderaan-kenderaan mewah.

    SPRM akan memanggil saksi-saksi terutamanya dari kementerian terbabit bagi membantu siasatan.

    Selain itu, SPRM juga akan melihat sistem dan prosedur perolehan kementerian yangmenyebabkan  berlakunya ketirisan dana sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan.

    Pada 14 Mac 2016, SPRM Kuala Lumpur juga telah mengadakan Ops Tiris sehingga membawa kepada penahanan empat orang termasuk seorang pegawai kanan kerajaan dan bekas pesara.

    Seorang lagi telah didakwa pada 17 Mac 2016.

     

    DATO’ AZAM BAKI

    PENGARAH SIASATAN

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    19 MAC 2016

     

    SPRM Bongkar Sindiket Seleweng Dana Kerajaan Lebih RM100 Juta  PDF