• 20 Anggota Badan Bebas SPRM Terima Watikah Pelantikan Hari Ini

    20 Anggota Badan Bebas SPRM Terima Watikah Pelantikan Hari Ini

    SERAMAI 20 anggota badan bebas yang dilantik pada 15 Ogos lalu bagi memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara rasmi telah menerima watikah pelantikan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur, hari ini.

    Daripada 20 anggota tersebut, 13 merupakan anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) manakala selebihnya dilantik sebagai anggota Panel Penilaian Operasi (PPO).

    Bagaimanapun, Mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Ismail Adam selaku Pengerusi PPPR dan Pengerusi Malaysian Rating Corporation Berhad, YBhg. Datuk Azizan Abdul Rahman selaku ahli PPO yang baru dilantik tidak hadir ke majlis berkenaan.

    Tempoh pelantikan anggota bagi PPPR dan PPO adalah selama setahun berkuat kuasa 15 Ogos 2016 sehingga 14 Ogos 2017 dan mereka dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri.

    Setiap anggota bebas tersebut yang terdiri daripada kalangan pemimpin-pemimpin badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan; golongan profesional; ahli-ahli akademik serta bekas pegawai tertinggi kerajaan itu diberi taklimat ringkas berhubung peranan dan tugas masing-masing oleh Pengarah Siasatan SPRM, Dato’ Azam Baki dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil selepas majlis penyampaian watikah yang berlangsung pada pukul 10.15 pagi.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan danProfesionalisme), Dato’ Sri Mohd. Jamidan Abdullah.

    Berikut senarai penuh ahli-ahli yang menerima watikah pelantikan:

    Ahli-Ahli PPPR bagi sesi 15 Ogos 2016 - 14 Ogos 2017

    Ahli-Ahli PPPR bagi sesi 15 Ogos 2016 - 14 Ogos 2017

     

    1. YBhg. Tan Sri Ismail Adam (Pengerusi)

    Mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam

    2. YBhg. Tan Sri Profesor Dato’ Dr. T. Marimuthu

    Profesor Adjung di Asia e University

    3. YBhg. Tan Sri Tang Yeam Soon

    Pengarah Urusan, The Store Corporation Berhad

    4. YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Sham Mohd. Sani

    Mantan Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

    5. YBhg. Datuk Abdul Aziz Ishak

    Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

    6. YBhg. Datuk Hasmi Hasnan

    Pengasas Naim Land Sdn. Bhd.

    7. YBhg. Datuk Baljit Singh Sidhu

    Peguambela & Peguamcara di Shukor Baljit & Partners

    8. YBhg. Datuk Md. Yusof Md. Aslam

    Pengarah Urusan, Skop Productions Sdn. Bhd.

    9. YBhg. Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz

    Mantan Ketua Pengarah JAKIM

    10. YBhg. Dato’ V. Danapalan

    Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI)

    11. YBhg. Datin Dr. Amla Hj. Mohd Salleh

    Karyawan Tamu di Fakuliti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

    12. YBrs. Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom

    Dekan Pengasas & Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan, Cyberjaya University College of Medical Sciences

    13. YBrs. Dr. Nasharudin Mat Isa

    Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF)

     

     

    Ahli-Ahli PPO bagi sesi 15 Ogos 2016 - 14 Ogos 2017

    1. YBhg. Tan Sri Zaleha Zahari (Pengerusi)

    Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan

    2. YBhg. Tan Sri Ismail Omar

    Mantan Ketua Polis Negara

    3. YBhg. Datuk Azizan Abdul Rahman

    Pengerusi Malaysian Rating Corporation Berhad

    4. YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff

    Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

    5. YBhg. Dato’ Dr. Siti Mariam Che Ayub

    Mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri

    6. YBhg. Dato’ Selva Mookiah

    Peguambela & Peguamcara di Selva Mookiah & Associates

    7. YBrs. Profesor Dr. Yap Bee Wah

    Profesor Madya di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA

    Bagi terma dan rujukan PPPR, panel tersebut berfungsi sebagai penasihat kepada SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah; meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah serta meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.

    Selain itu, PPPR turut berperanan untuk menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik (best practices) dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah selain membantu SPRM sebagai Key Communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh SPRM serta mengemukakan ulasan tentang perjalanan SPRM dari segi fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

    Bagi PPO pula, terma dan rujukan panel tersebut ialah menerima dan mendapatkan penjelasan berhubung perangkaan kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM; menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung kertas siasatan yang tempoh siasatannya melebihi 12 bulan; menerima laporan daripada SPRM berhubung semua kes yang mana individu yang ditahan dilepaskan dengan jaminan oleh SPRM melebihi enam bulan serta meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada LPPR berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan operasisiasatan SPRM.

    Pada masa yang sama, PPO juga menerima laporan kertas siasatan SPRM yang telah berkeputusan untuk dihentikan siasatan dan memberi pandangan dari segi penambahbaikan siasatan atas sebab kelemahan siasatan serta menyemak semula sekiranya siasatan berkenaan memerlukan siasatan lanjut.

    SPRM yang diwujudkan pada tahun 2009 mempunyai lima badan bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, LPPR, PPO, Jawatankuasa Aduan dan PPPR.

    SPRM satu-satunya agensi penguatkuasaan di Malaysia mempunyai badan bebas yang bertindak sebagai mekanisme check and balance.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    5 SEPTEMBER 2016

     20 Anggota Badan Bebas SPRM Terima Watikah Pelantikan Hari Ini PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
39
Semalam
50
Minggu Ini
138
Bulan Ini
1219

Keseluruhan
3447583