• Persetujuan Dilepas Tanpa Dibebaskan Riza Aziz, Kerajaan Bakal Terima Semula Aset USD 107.3 Juta

    Persetujuan Dilepas Tanpa Dibebaskan Riza Aziz, Kerajaan Bakal Terima Semula Aset USD 107.3 Juta

    Adalah dimaklumkan pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk dilepas tanpa dibebaskan terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz daripada beberapa pertuduhan yang dibuat pada 5 Julai 2019 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat yang mana pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

    Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah USD 107.3 juta (RM465.3 juta).

    Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya.

    Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    14 MEI 2020

    Persetujuan Dilepas Tanpa Dibebaskan Riza Aziz, Kerajaan Bakal Terima Semula Aset USD 107.3 Juta

    PDF
  • Siasatan SPRM Tidak Halang Pembekalan Baju Kalis Api Bomba

    Siasatan SPRM Tidak Halang Pembekalan Baju Kalis Api Bomba

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah melakukan siasatan berhubung pembekalan baju kalis api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tahun 2016 seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Ketika ini, proses siasatan hampir selesai. SPRM hanya menunggu keterangan daripada United Kingdom yang dipohon melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

    SPRM telah menghantar contoh baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor ini kepada Jabatan Kimia dan mengesahkan baju ini tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard yang telah ditetapkan oleh JBPM.

    SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM tidak menghalang atau menyekat perolehan atau pembelian oleh JBPM.

    Sekiranya timbul sebarang keraguan berhubung isu ini, JBPM boleh menghubungi SPRM.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    15 JANUARI 2019

     

      Siasatan SPRM Tidak Halang Pembekalan Baju Kalis Api Bomba PDF

     

  • Kenyataan Media Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

    ADALAH pengetahuan umum bahawa pada 8 Januari lalu, saya telah mengadakan satu sidang akhbar selaku Ketua Pesuruhjaya mendedahkan, demi kepentingan awam, rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.

    Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan pada 8 Januari tersebut, satu komplot jenayah telah dimulakan untuk mereka (fabricate) dan mengedar material bertujuan untuk
    mencalar reputasi peribadi saya.

    Kami percaya seorang peguam diantara lain yang terlibat menjadi dalang disebalik komplot ini. Pegawai Khas saya akan membuat satu laporan polis awal pagi esok dan akan menyerahkan bukti berkenaan ini pada pihak polis.

    Saya ingin menghantar satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang disebalik ini, bahawa saya tidak tergugat atau terancam dalam terus melaksanakan tugas saya sebagai Ketua Pesuruhjaya
    SPRM.

    Masyarakat umum telah meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini dari gejala rasuah. Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini, walauapapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau dalam masa akan datang.

    LATHEEFA KOYA
    KETUA PESURUHJAYA
    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    13 JANUARI 2020

    Kenyataan Media KP Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

    PDF
  • Kenyataan Media Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 23 Januari 2020

    Kami merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terkini, yang mana Malaysia telah memperbaiki kedudukannya iaitu meningkat sebanyak 10 tangga.

    Ini sangat memberangsangkan dan SPRM berbesar hati kerana negara kita bergerak ke arah yang betul.

    SPRM komited untuk meneruskan usahanya bagi menghapuskan negara korup dengan mengambil langkah-langkah proaktif terutama dalam aspek pencegahan dan pembasmian.

    Kami sebenarnya telah memulakan langkah-langkah inovatif bagi menangani perkara ini.

    Kami akan terus berusaha untuk ketelusan yang lebih hebat, memperbanyakan penyertaan daripada pemegang taruh dan memperkukuhkan mekanisme pengurusan perlindungan pemberi maklumat.

    Kami juga menggesa semua badan pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan unit integriti dan tadbir urusnya.

    LATHEEFA KOYA
    KETUA PESURUHJAYA
    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    23 JANUARI 2020

    23 Januari 2020 - Kenyataan Media KP Berhubung CIP 2019

    PDF
  • Seluruh Warga SPRM Menjunjung Kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Atas Ucapan Tahniah

    Seluruh Warga SPRM Menjunjung Kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Atas Ucapan Tahniah

    Seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan hari ulang tahun agensi ini yang ke-53 pada 1 Oktober, 2020.

    Titah nasihat serta keprihatinan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku terhadap usaha-usaha membanteras jenayah rasuah amat dihargai oleh warga SPRM dan rakyat sekalian.

    Warga SPRM berjanji akan terus memikul tanggungjawab dan tugas dengan baik dan penuh integriti seperti dititahkan.

    Warga SPRM juga mendoakan agar KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wataala dan dikurniakan kesihatan yang sempurna serta memerintah negara Malaysia dengan aman, makmur dan sejahtera.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    4 OKTOBER 2020

    Seluruh Warga SPRM Menjunjung Kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Atas Ucapan Tahniah

    PDF
  • Siasatan SPRM Profesional Dan Patuhi SOP

     Siasatan SPRM Profesional Dan Patuhi SOP

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan kononnya SPRM telah menerima arahan untuk 'membutakan mata' terhadap bukti serta mengugut saksi dalam siasatan kes melibatkan seorang pegawai kanan Lembaga Tabung Haji.

    Ingin ditegaskan bahawa SPRM sentiasa bersikap profesional dan mengikut ‘rule of laws’ semasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Tangkapan atau penahanan yang dilakukan SPRM bertujuan untuk membantu siasatan berdasarkan asas-asas kukuh.

    SPRM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan yang ditetapkan semasa menjalankan siasatan dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi demi membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    Perbuatan mengeluarkan kenyataan oleh mana-mana pihak atau individu berhubung kes yang sedang disiasat boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan yang juga seolah-olah memaksa SPRM mendedahkan hasil siasatan kepada masyarakat.

    SPRM tidak akan membuat sebarang pendedahan terhadap hasil siasatan dan hanya akan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya bagi membuat keputusan secara profesional.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    20 DISEMBER 2018

     

      Siasatan SPRM Profesional Dan Patuhi SOP PDF
  • SPRM Buka 6 Kertas Siasatan Berkaitan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

     

    SPRM Buka 6 Kertas Siasatan Berkaitan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

    SUSULAN isu siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang yang dibangkit baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka sebanyak enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

    Kertas siasatan pertama telah dibuka pada Julai 2017 manakala lima lagi kertas siasatan dibuka pada Januari 2018.

    Sebanyak lima kertas siasatan telah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Tiga kertas siasatan telah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya. Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    4 MAC 2019

     SPRM Buka 6 Kertas Siasatan Berkaitan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang   PDF

     

  • SPRM Kesan Dua Individu Bantu Siasatan

     

    SPRM Kesan Dua Individu Bantu Siasatan

     SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes SPRM.

     Individu terbabit ialah Mohd Hafiz Yusoff, 45, pemegang kad pengenalan bernombor 710309-02-5019. Alamat terakhir Hafiz ialah di Nombor 20, Jalan Nilam 1, Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor. Manakala alamat keduanya di Blok F, Tingkat 3, Kiambang Apartment Putra Perdana Puchong dan alamat ketiga di F 339 Felda Pasoh 1, Simpang Pertang Jelebu Negeri Sembilan.

    Hafiz merupakan bekas eksekutif di syarikat milik negeri Selangor.

    Individu kedua yang sedang dikesan ialah Wan Ahmad Don, 47, pemegang kad pengenalan bernombor 690129-09-5073. Alamat terakhir Wan Ahmad ialah di Nombor 91, Kg. Padang Siding, Jalan Kubur Besar , Pauh, Arau Perlis.

    Sehubungan itu, SPRM meminta sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Hafiz menghubungi Pegawai Penyiasat, Ps. Rosnizam Mansor di talian 019-6001038 atau emel rosnizam@sprm.gov.my atau hadir ke pejabat SPRM yang berhampiran.

     Manakala bagi yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Wan Ahmad, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat PPs Hani Marwan Hamim di talian 04-9761982/013-6924841 atau PKPs E Mey a/p E Boon Him di talian 04-9761982/012-5787691 atau emel hani.hamim@sprm.gov.my atau emey@sprm.gov.my.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    24 APRIL 2016

      PDF
  • SPRM Kesan Dua Individu Bantu Siasatan

    SPRM Kesan Dua Individu Bantu Siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.

    Bagi kes pertama, Bahagian Operasi Khas (BOK) sedang mengesan seorang wanita, Mala K.N.K Nair, 61, yang mempunyai alamat terakhir di No. 6, Lorong Dato Sulaiman 2, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur.

    Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya Mohd Nasir Ahmad Tajudin di talian 016-3761940.

    Sementara itu bagi kes kedua, SPRM Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki, Di Thien Chon, 50, yang mempunyai alamat terakhir di No 29, Jalan Dato Haji 1, Taman Tan Yew Lai, 58200, Kuala Lumpur.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Thien Chon diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Muhamad Firdaus Md Saad di talian 03-9206 5000 atau 019-4728260.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    4 SEPTEMBER 2020

    SPRM Kesan Dua Individu Bantu Siasatan

    PDF

  • SPRM Kesan Dua Lelaki Bantu Siasatan Kes

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes SPRM.

    Dalam kes pertama, SPRM Sabah sedang mengesan Mazlan Mohamed Lazim, 63, yang mempunyai alamat terakhir di TB 6266 Lorong 10, Taman Hot Spring Jaya, Tawau, 91000, Sabah dan Kg. Bubul Lama, Jalan Kabogan, Semporna, Sabah.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penguasa Ikhwan Zaudii Nordin di talian 088-488 381 atau 012-9560 560.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Sarawak sedang mengesan Syed Haidil Syed Ahmad, 37, yang mempunyai alamat terakhir di No. 18, Jalan Nanas Barat Ulu, 93400 Kuching, Sarawak.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penguasa Muhamad Shukri Shaharudin di talian 082-467 701 atau 011- 3760 6308.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    20 JANUARI 2020

    SPRM Kesan Dua Lelaki Bantu Siasatan Kes

    PDF
  • SPRM Kesan Empat Lelaki Bantu Siasatan

    SPRM KESAN EMPAT LELAKI BANTU SIASATAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan berkaitan tiga kes rasuah berasingan.

    Dalam kes pertama, Bahagian Operasi Khas (BOK) sedang mengesan Sabana Maraleh, 43, yang mempunyai dua alamat terakhir di Kampung Sisipan, Peti Surat 580, 91308, Semporna, Sabah dan Rumah Kediaman Kampung Taman Hatib, Lot 21, Peti Surat 254, 91308, Semporna Sabah. Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya Mohd Fairul Aswan Salleh di talian 013-520 8426 / 03-8870 0562 atau e-mel ke alamat fairulaswan.salleh@sprm.gov.my.

    Sementara itu dalam kes kedua, SPRM Johor sedang mengesan Md Jaharul Islam, 32, seorang lelaki warganegara Bangladesh yang mempunyai alamat terakhir di rumah kongsi berdepan Kemayan City Jalan Besar, Skudai Johor Bahru, Johor.

    Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Rawiah Kunji Mohamad di talian 012-750 2658 / 07-231 6067 ataupun e-mel kepada rawiah@sprm.gov.my.

    Dalam kes ketiga pula, SPRM Perak sedang mencari dua lelaki iaitu Allan Ngok Heng Loon, 38, dan Ng Peng Chai, 51.

    Allan Ngok Heng Loon mempunyai alamat terakhir di No. 87, Taman Singa Baru, 32000, Sitiawan, Perak manakala Ng Peng Chai di No. 539, Kampung Baru, Kampung Timah, 31800, Tanjong Tualang, Perak.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Mohd Dhiyauddin Nor Azminuddin di talian 016-2382390 / 05-5267000 sambungan 131 ataupun e-mel kepada dhiyauddin@sprm.gov.my.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    26 JUN 2020

     SPRM Kesan empat lelaki bantu siasatan

    PDF

     

    SPRM Kesan Empat Lelaki Bantu Siasatan

  • SPRM Kesan Jamal Bantu Perbicaraan

    SPRM Kesan Jamal Bantu Perbicaraan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu perbicaraan kes SPRM.
    Lelaki tersebut, Jamal Majini, 56, mempunyai alamat terakhir di No. 3152, Lorong B11, Taman Sibiew Indah, RPR Sibiew, 97000 Bintulu, Sarawak.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Jamal diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Muhammad Izwannuddin Garpar di talian 018-2308617 / 03-88700472 atau e-mel ke alamat izwanuddin@sprm.gov.my.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    3 JULAI 2020

     

    SPRM Kesan Jamal Bantu Perbicaraan

    PDF

     

  • SPRM Kesan Mohd Saifullah Bantu Siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan bekas pegawai kanan kepada bekas menteri bagi membantu siasatan kes SPRM. Lelaki tersebut, Mohd Saifullah Mohd Minggu@Mohd Hisham, 29, mempunyai alamat terakhir di KM 2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308, Semporna, Sabah.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Saifullah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya Mohd Fairul Aswan Salleh di talian 013-520 8426 / 03-8870 0562 atau emel ke alamat fairulaswan.salleh@sprm.gov.my.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    12 JUN 2020

    SPRM Kesan Mohd Saifullah Bantu Siasatan

    PDF
  • SPRM Lancar Portal Bahasa Mandarin

     SPRM Lancar Portal Bahasa Mandarin

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini secara rasmi telah melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya ini.

    Portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.

    Sehubungan itu, SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu ini, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah di samping menyebarluas mesej pendidikan pencegahan rasuah.

    Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA
    18 SEPTEMBER 2020

    SPRM Lancar Portal Bahasa Mandarin

    PDF
  • SPRM Nafi Keluarkan Kenyataan Media Siasat Wang Sogokan Di PRK Slim

    SPRM Nafi Keluarkan Kenyataan Media Siasat Wang Sogokan Di PRK Slim

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan telah mengeluarkan kenyataan media bertajuk 'SPRM siasat pemberian wang sogokan PRK N58 DUN Slim' berkaitan siasatan video tular pemberian wang sogokan.

    Namun begitu, SPRM memohon semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah atau apa-apa salah laku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyalurkan maklumat tersebut kepada SPRM atau Polis Diraja Malaysia.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    30 OGOS 2020

    SPRM Nafi Keluarkan Kenyataan Media Siasat Wang Sogokan Di PRK Slim

    PDF

  • 16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa

    16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa

     

    Seramai 16 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat di empat buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan menerima rasuah, hari ini.

    Mereka yang dituduh merupakan seorang Deputi Supritenden, dua Asisten Supritenden, dua Inspektor dan selebihnya pelbagai anggota berpangkat rendah.

    Lapan daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, empat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tiga di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan seorang di Mahkamah Sesyen Georgetown.

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun denda 10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana-mana lebih tinggi.

    SPRM ingin menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang terkecuali daripada siasatan SPRM termasuk agensi penguatkuasaan jika mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah.

    Agensi-agensi penguatkuasaan ini merupakan harapan masyarakat untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman jenayah selain menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    9 MAC 2017

     16 Pegawai, Anggota Polis Disiasat SPRM Didakwa PDF
  • 24 Ahli Badan Bebas SPRM Terima Surat Cara Dan Pelantikan Hari Ini

    24 AHLI BADAN BEBAS SPRM TERIMA SURAT CARA DAN PELANTIKAN HARI INI

    SERAMAI tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai 21 Mei 2020 sehingga 20 Mei 2023.

    Pelantikan tersebut atas nasihat Perdana Menteri mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694).

    Ahli-ahli LPPR terdiri daripada:

    1. YBhg. Tan Sri Abu Zahar Ujang (Pengerusi)
    Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara

    2. YBhg. Tan Sri Ismail Omar
    Bekas Ketua Polis Negara

    3. YBhg. Datuk Seri Azman Ujang
    Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)

    4. YBhg. Datuk Seri Akhbar Satar
    Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia dan bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M)

    5. YBhg. Datuk Dr Hamzah Kassim
    Pengarah Urusan The IA Group

    6. YBhg. Datuk David Chua Kok Tee
    Pengarah Urusan DC&A Group

    7. YBhg. Professor Madya Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff
    Ahli Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia

    Sementara itu, seramai 12 ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) telah dilantik oleh Perdana Menteri secara pentadbiran.

    Tempoh PPPR berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022 manakala PPO berkuat kuasa mulai 1 April 2020 hingga 30 Mei 2022.

    Ahli-ahli PPPR terdiri daripada:

    1. YBhg. Tan Sri Borhan Dolah (Pengerusi)
    Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

    2. YBhg. Dato’ Manja Ismail
    Bekas Pengarang Urusan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima

    3. YBhg. Datuk Prof. Dr. Azizan Baharuddin
    Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    4. YBrs Prof. Dr Edmund Terence Eric Boniface Gomez
    Profesor Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya

    5. YBhg. Dato’ Chamil Wariya
    Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI)

    6. YBhg. Datuk Freddie Fernandez
    Presiden Persatuan Karyawan Malaysia

    7. YBrs Saudara Jufitri Joha
    Presiden Majlis Belia Malaysia

    8. YBhg. Dato’ Dr Siti Norlasiah Ismail
    Bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

    9. YBrs Cik Norita Che Ali
    Pengerusi Pertubuhan Ekonomi Wanita dan Kebajikan

    10. YBhg. Dato’ Nadzim Johan
    Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

    11. YBhg. Datuk Md Yusof Md Aslam
    Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd.

    12. YBhg. Dato’ Baljit Singh Sidhu
    Peguambela & Peguamcara di Shukor Baljit & Partners

    Ahli-ahli PPO terdiri daripada:

    1. YBhg. Dato’ Ahmad Rosli Mohd Sham (Pengerusi)
    Bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara

    2. YBrs Dr. Hj Mazlan Haji Ahmad
    Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia

    3. YBhg. Dato’ Abdul Manap Dim
    Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Lembaga Hasil Dalam Negeri

    4. YBhg. Dato’ Mohd Faudzi Hj Che Mamat
    Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan

    5. YBhg. Dato’ Azimah Abdul Hamid
    Bekas Timbalan Ketua Pengarah ( Penguatkuasaan dan Pematuhan), Kastam

    Kesemua 24 ahli yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.
    Surat cara dan pelantikan bagi menganggotai LPPR, PPPR serta PPO itu telah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    30 JUN 2020

     

    24 Ahli Badan Bebas SPRM Terima Surat Cara Dan Pelantikan Hari Ini

    PDF

     

  • Abdul Azeez Dan Abdul Latif Ditahan Untuk Pendakwaan

    Abdul Azeez Dan Abdul Latif Ditahan Untuk Pendakwaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

    Kedua-duanya ditahan pada jam 4.30 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

    Susulan itu, kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 16 Januari 2019, jam 9.00 pagi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    15 JANUARI 2019

     

     Abdul Azeez Dan Abdul Latif Ditahan Untuk Pendakwaan PDF
  • Aduan Rasuah Berkaitan 'Surat Karam' Dan Skandal Kerajaan Negeri Perak

    Aduan Rasuah Berkaitan 'Surat Karam' Dan Skandal Kerajaan Negeri Perak

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di Ipoh hari ini berhubung isu skandal tanah di Perak susulan tersebar surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

    SPRM mengesahkan bahawa satu siasatan akan dijalankan terhadap aduan ini dan berharap semua pihak untuk tidak mengulas lanjut serta memberikan ruang bagi siasatan dijalankan secara telus dan profesional.

    DATO’ SRI AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA(OPERASI)
    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    7 SEPTEMBER 2020

     Aduan Rasuah Berkaitan 'Surat Karam' Dan Skandal Kerajaan Negeri Perak

    PDF
  • Akaun Rasmi Twitter SPRM Alami Masalah Teknikal

    Akaun Rasmi Twitter SPRM Alami Masalah Teknikal

    Berhubung dakwaan kononnya akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) @SPRMMalaysia dinyahaktifkan, SPRM ingin menjelaskan bahawa perkara tersebut berpunca daripada isu teknikal di pihak Twitter sejak semalam.

    Susulan itu, SPRM telah membuat laporan kepada pihak Twitter pada hari sama dan isu tersebut kini dalam proses pemulihan dan penambahbaikan.

    Oleh yang demikian, dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan SPRM menutup akaun rasmi Twitter suruhanjaya ini adalah tidak benar.

    SPRM berterima kasih atas keprihatinan semua pihak namun berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terutamanya melibatkan imej dan integriti SPRM.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    PUTRAJAYA

    27 MEI 2020

     

    Akaun Rasmi Twitter SPRM Alami Masalah Teknikal

     

    PDF

     

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
43
Semalam
48
Minggu Ini
43
Bulan Ini
1297

Keseluruhan
3446117