• Bekas Leftenan Komander Didenda RM100,000, Harta Bernilai RM1.6 juta Dirampas Akibat Rasuah

    Bekas Leftenan Komander Didenda RM100,000, Harta Bernilai RM1.6 juta Dirampas Akibat Rasuah

    Seorang bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander didenda RM100,000 selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan berkaitan rasuah berhubung urusan pembekalan barangan ke TLDM di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Ipoh, hari ini.

    Hakim Indra Nehru Savandiah turut memerintahkan harta bernilai kira-kira RM1.6 juta milik Khairul Izwan, 38, yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM dilucutkan hak.

    Sebelum ini, pada 9 September 2015, Khairul Izwan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima wang dan sekeping kad debit berjumlah RM1.5 juta.

    Khairul Izwan turut didakwa dengan satu pertuduhan mengikut akta sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 September 2015 atas tuduhan menerima seutas jam tangan jenama Bell & Ross bernilai RM19,000 daripada seorang kontraktor yang mana tertuduh mengetahui syarikat kontraktor berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh. Kes tersebut kemudian dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh.

    Khairul Izwan didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut antara bulan Mei 2013 dan Februari 2015.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah dan Mahadi Abdul Jumaat.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    IPOH, PERAK

    3 OGOS 2016

     Bekas Leftenan Komander Didenda RM100,000, Harta Bernilai RM1.6 juta Dirampas Akibat Rasuah PDF