• Bank Muamalat Tandatangani CIP, Bangunkan Polisi Perangi Rasuah

    Bank Muamalat Tandatangani CIP, Bangunkan Polisi Perangi Rasuah

    BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjadi institusi perbankan kelima dan organisasi ke-906 di negara ini menandatangani Ikrar Integriti Koprorat (CIP) bagi menzahirkan komitmen membanteras rasuah, di Kuala Lumpur hari ini.

    Bagi pihak Bank Muamalat, CIP ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Mohd. Redza Shah Abdul Wahid manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Haji Mustafar Ali.

    Majlis disaksikan oleh Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dato' Dr. Mohd Munir Abdul Majid.

    Sementara itu, Mustafar ketika membacakan ucaptama mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kesalahan rasuah melibatkan industri korporat merupakan aspek yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan polisi-polisi pembanterasan rasuah.

    Beliau berkata, polisi berkenaan mampu mewujudkan situasi di mana organisasi dapat memastikan sistem dan polisi antirasuah yang dibangunkan lebih efektif dan terkini.

    "Di SPRM kami percaya rasuah diambil kira sebagai punca daripada kegagalan institusi danbukannya keruntuhan moral individu."

    "Membina satu sistem yang utuh dan institusi yang seimbang adalah cara terbaik memerangi rasuah," ujar beliau.

    Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan harapan supaya lebih banyak organisasi terutamanya institusi perbankan perlu tampil menandatangani CIP kerana integriti dan tadbir urus yang baik merupakan aspek utama yang perlu diberi keutamaan oleh setiap organisasi selain mengutamakan keuntungan.

    Katanya, SPRM sentiasa komited untuk membantu mana-mana organisasi dalam negara berhubung inisiatif pembanterasan rasuah dengan menawarkan modul pencegahan rasuah dan pembangunan kapasiti.

    Mohd Munir berkata, hanya satu rangka kerja yang menyeluruh tidak mencukupi untuk memerangi rasuah malah adalah penting untuk memastikan pelaksanaan rangka kerja pencegahan rasuah berkesan dan memberikan implikasi yang tinggi.

    Beliau juga berkata, Bank Muamalat telah membangunkan dan melaksanakan pelbagai polisi dan prosedur dalam memerangi rasuah melibatkan aspek tadbir urus korporat bertujuan untuk membasmi budaya rasuah di kalangan pegawai Bank Muamalat, pelanggan dan vendor.

    Antara inisiatif yang dibentuk oleh Bank Muamalat termasuklah memastikan pematuhan terhadap Ikrar CIP, mengadakan program kesedaran , mengukuhkan proses dan prosedur berkaitan rasuah dan pemantauan aktiviti pegawai-pegawai dari semasa ke semasa.

    Turut hadir Presiden Transparency Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yusal Yusoff dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    3 MEI 2016

      Bank Muamalat Tandatangani CIP, Bangunkan Polisi Perangi Rasuah PDF