PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, diperintah untuk membela diri oleh Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Hakim Yang Arif Datuk Sri Abu Samah Nordin ketika membacakan keputusan yang dibuat bersama Hakim Dato' Mohd Zawawi Salleh dan Dato' Azhar Mohammad memerintahkan tertuduh berbuat demikian dengan mengambil kira bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dengan membuat keputusan melepas dan membebaskan  tanpa mendengar pembelaan tertuduh serta anggapan Seksyen 42 Akta Pencegahan Rasuah 1997 terpakai di mana Responden perlu menyangkal anggapan tersebut.

Hakim juga bersetuju dengan fakta pihak pendakwaan bahawa responden telah menerima wang tersebut dan ianya dianggap sebagai wang rasuah.

Kes tersebut diperintahkan untuk sebutan semula di Mahkamah Sesyen pada 16 April ini.

Terdahulu pada 15 Oktober 2010, hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosbiahanin Ariffin memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie keatas tertuduh.

Wahid, 58, didakwa menerima suapan RM 60,000 pada tahun 2008 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran meluluskan permohonan bagi 4,337 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia.

Beliau kemudian didakwa dibawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila  menerima wang tersebut sebagai bayaran upahnya pada 10 Julai, jam 10.15 malam di rumahnya, Jalan Lembah Ledang, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sepanjang perbicaraan bermula 17 Ogos 2010, seramai 40 saksi telah dipanggil, termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan beberapa ejen pekerja asing.

Wahid, 59, telah bersara dari perkhidmatan awam sejak setahun lalu, diwakili oleh peguamnya V. Sithambaram.

Manakala pihak pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad.

TAMAT

 

Lampiran                    Tarikh
Bekas KP Imigresen Diperintah Bela Diri Kes Rasuah 02/04/2013
Hit: 11029