Oleh Zatul Yahaya

JOHOR BAHRU, 25 Jun 2013 - Seorang ahli perniagaan hari ini menghadapi tiga tuduhan memberi keterangan palsu kerana memberi kenyataan bercanggah ketika menjadi saksi dalam kes membabitkan suami kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Berhad (IIB), Mohd Amin Suhaimi, tahun lalu.

Mohd Iskandar Fahmi Abdullah, 54, yang merupakan salah seorang saksi kes berprofil tinggi didakwa melakukan tiga kesalahan di bawah Seksyen 27(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009).

Tertuduh didakwa memberi keterangan bercanggah pada 6 dan 7 Jun di Mahkamah Sesyen Jenayah (5) Johor Bahru ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghaffar Ab. Latiff.

Tertuduh didakwa berbuat demikian ketika memberi keterangan jenayah terhadap Mohd Amin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu.

Kenyataan yang dibuat di hadapan hakim tersebut didakwa tidak selaras dengan pernyataan yang telah diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Rozlina Hashim dalam rakaman percakapan dibuat pada 10 Ogos 2011 di Pejabat SPRM Johor.

Tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Jenayah Rasuah di sini mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menetapkan wang jaminan RM21,000 iaitu RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan SPRM dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan,  Datuk Abdul Razak Musa.

Tamat.

 

Lampiran                    Tarikh
Ahli Perniagaan Dituduh Beri Keterangan Palsu 25/06/2013
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
23
Semalam
48
Minggu Ini
71
Bulan Ini
480

Keseluruhan
3430103