JOHOR BAHRU - Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini berhubung kesalahan menyalah guna kedudukan untuk memberi dua kontrak projek pengurusan bernilai RM230,800 kepada syarikat milik adiknya dua tahun lalu.

Dato' Abd. Rahim Ahmad, 57, yang berkhidmat di Ibu Pejabat JKR  didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 kerana menyalahguna kedudukannya sebagai penjawat awam bagi tujuan tersebut.

Tertuduh juga merupakan Pengarah Projek bagi Kontrak Pengurusan Fasiliti Bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), dan Kontrak Pengurusan Fasiliti Bangunan JB Sentral, Bukit Chagar, Johor Bahru. 

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya  sebagai Pengarah Projek berkenaan untuk mendapatkan suapan iaitu dengan meminta Saipolyazan M. Yusop, Pengarah Operasi Kumpulan syarikat Advanced Maintenance Precision Management Sdn Bhd (AMPM) yang bertangungjawab bagi kontrak projek pengurusan fasiliti dua bangunan berkenaan untuk melantik syarikat YBA Technology Sdn Bhd milik adik kandungnya, Mohd Yusri Ahmad  bagi menjalankan kerja subkontrak masing-masing bernilai RM196,000 dan RM34,800.

Kesalahan tersebut dilakukan pada pada 5 Januari 2011, jam lebih kurang 1.30 petang, di Bilik Mesyuarat JKR, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Siasatan SPRM mendapati tertuduh telah menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan syarikat AMPM memberikan kerja-kerja subkontrak kepada adik kandungnya dan juga menerima suapan sebagai balasan terhadap projek yang telah diberikan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menetapkan wang jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Kes ini akan disebut semula pada 30 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghafar Ab. Latif manakala tertuduh diwakili Stanislaus Vethanayagam.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun  dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Tamat

 

Lampiran                    Tarikh
Pengarah JKR Didakwa Salah Guna Kuasa Kurnia Adiknya Projek 26/06/2013
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
23
Semalam
54
Minggu Ini
235
Bulan Ini
283

Keseluruhan
3429906