KUALA LUMPUR, 11 Julai 2013 - Buat julung kali Pegawai-pegawai Khas Menteri mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan kerajaan dua minggu lalu.

Dokumen pengisytiharan harta diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada majlis ringkas yang berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.

Ini salah satu inisiatif yang telah dibentangkan pada Mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian NKRA Membanteras Rasuah, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan terdahulu yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, "peranan seorang Pegawai Khas adalah penting kerana dalam sesetengah kes, mereka bertindak sebagai 'pengawal' kepada menteri dan mempunyai keistimewaan kepada maklumat-maklumat yang amat sulit,dengan mengasaskan tatacara peluang untuk salah laku dapat dikurangkan."

Selain proses saringan, pegawai khas perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri setiap tahun sama seperti menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Abu Kassim menegaskan terdapat dua elemen penting yang termaksud dalam dokumen pengistiharan harta tersebut dan formatnya adalah sama dengan Pekeliling Perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, mengehendaki pegawai awam mengisytiharkan harta yang mereka miliki apabila mula dilantik, bila ada pertambahan harta baru, bila melupuskan harta yang telah dilaporkan atau bila diarah oleh Kerajaan.

Harta yang perlu diisytiharkan termasuk harta yang dipunyai oleh pegawai, harta yang dipunyai oleh isteri dan juga yang dipunyai oleh anak pegawai yang di bawah tanggungannya dan secara akuan sumpah.

Abu Kassim turut menyatakan bahawa selain untuk menjaga integriti pegawai khas menteri, usaha ini juga dapat menghapuskan sindrom ’orang tengah’ di mana terdapat segelintirnya telah menyalahgunakan kuasa dan rangkaian hubungan murni yang telah diamanahkan kepada mereka.

Beliau juga berharap agar Pegawai Khas Menteri dapat sama-sama memahami, membantu dan menyelami usaha-usaha membanteras rasuah yang sedang dilaksanakan dan dapat membantu menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini kepada anggota jemaah menteri.

Mereka yang menyerahkan dokumen hari ini ialah Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Mohd Naaim Mahmod; Pegawai Khas kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Khaireel Azlee dan Pegawai Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Idris Jala, Izhar Moslim.

Tamat

 

Lampiran                    Tarikh
3 Pegawai Khas Menteri Isytihar Harta 11/07/2013
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
14
Semalam
54
Minggu Ini
226
Bulan Ini
274

Keseluruhan
3429897