PUTRAJAYA, 24 Mac - Perbicaraan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid atas dua pertuduhan penyelewengan projek tanah adat Sarawak melibatkan kerugian RM100 juta akan diteruskan di Mahkamah Sesyen ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan mengetepikan tuduhan ke atas beliau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif, sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair.

"Dengan keputusan hari ini, kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen, di mana tarikh sebutan semula kes adalah 7 April 2014," kata Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais.

Empat ahli panel lain yang mendengar rayuan hari ini ialah Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Zainun Ali dan Dato Mohamed Apandi Ali.

Ini kali kedua rayuan Ahmad Zubair, yang juga bekas Presiden Sime Darby, ditolak oleh mahkamah.

Pada 18 Julai, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed, menolak rayuan Ahmad Zubair untuk mengetepikan tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan tersebut.

Ahmad Zubair diwakili oleh barisan peguam bela yang diketuai Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden manakala selain Kevin Morais, pihak pendakwaan juga diwakili oleh Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Pada 17 Julai 2012, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dana Sime Darby membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah Sime Darby Bhd membabitkan projek yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009.

 

Lampiran                    Tarikh
Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Bekas CEO Sime Darby, Kes Akan Didengar Mahkamah Sesyen 24/03/2013
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
45
Semalam
50
Minggu Ini
296
Bulan Ini
705

Keseluruhan
3430328