JOHOR BHARU, 28 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewajibkan setiap pegawai barunya menjalankan tugas sebagai pegawai siasatan minimum selama tiga tahun mulai tahun ini bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme siasatan.

Dasar ini dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada sidang media selepas berakhirnya Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 14 Bil.2/2014 di sini, hari ini.

Kata beliau, penekanan terhadap kemahiran siasatan diwajibkan bagi pegawai-pegawai siasatan yang baru selaras dengan program transformasi SPRM yang mahu melahirkan pegawai yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

"Kemahiran siasatan merupakan teras utama dalam SPRM. Jadi, pegawai baru siri ini mula diwajibkan untuk menjalankan tugas siasatan untuk satu tempoh selama tiga tahun," kata beliau.

Tan Sri Abu Kassim menambah, "kebanyakan yang menjalani kursus asas kali ini adalah mereka yang mempunyai kelulusan profesional iaitu perakaunan, kejuruteraan dan perundangan dan kesemua kadet yang tamat latihan pada hari ini akan ditempatkan di bahagian siasatan."

"Ini bagi membina kemampuan SPRM dalam menyiasat kes-kes kompleks membabitkan aspek-aspek kewangan," katanya.

SPRM yang ditubuhkan pada tahun 2009 melaksanakan program transformasi secara menyeluruh sejak empat tahun yang lalu membabitkan sektor operasi, modal insan dan pencegahan.

Tan Sri Abu Kassim menambah, pihaknya yakin bahawa kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perakaunan dan kewangan mampu melahirkan legasi pencegahan rasuah yang berkualiti dan berkeupayaan tinggi.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihaknya melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia bagi meningkatkan kualiti pegawai SPRM, terutama dalam aspek penambahbaikan modul asas dari semasa ke semasa.

"Kursus Asas Pegawai SPRM kini dijalankan sebanyak dua kali setahun dan kesan daripada pengambilan berterusan ini, sudah sewajarnya Pusat Latihan Asas berada di lokasi sendiri dengan kelengkapan kemudahan logistik  setaraf dengan agensi penguatkuasaan lain.

"Bukan itu sahaja, pegawai juga dilatih untuk mendekatkan diri dengan segenap lapisan masyarakat agar dapat merasa dan menjiwai denyut nadi masyarakat dengan mengadakan Program Anak Angkat dalam modul latihan.

"Melalui modul ini, SPRM dapat menyampaikan agendanya dalam mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pembenterasan rasuah," kata beliau lagi.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di pekarangan Pejabat SPRM Johor ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Hj Zakaria Jaffar; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali; Ketua Polis Johor, Dato' Mokhtar Mohd Shariff, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Pada majlis hari ini, Ahmad Nazri Yub menerima Anugerah Ketua Pesuruhjaya dan Anugerah Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Nursolehan Mohd Arshad pula dikurniakan Anugerah TKP Pengurusan dan Profesionalisme, Ain Yassier Hashin (Anugerah Terbaik Latihan Luar Lelaki) dan Norzaliza Mohd Jannes (Anugerah Latihan Luar Wanita).

Seramai 53 Penolong Pegawai Siasatan (33 lelaki dan 20 wanita) berjaya menamatkan latihan Kursus Asas Pegawai SPRM hari ini. Mereka telah mengikuti latihan selama 12 bulan bermula 1 September 2013.

Modul Kursus Asas SPRM telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Kokurikulum MACA, yang ahlinya terdiri daripada pakar-pakar akademik universiti tempatan dan telah diperakukan oleh Panel Pembangungan Sumber Manusia SPRM. Modul ini telah mula digunakan oleh Kadet Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 13 Bil. 1 Tahun 2013.

 

Lampiran                    Tarikh
Pegawai Baru SPRM Diwajib Tugas Siasatan Selama Tiga Tahun 28/08/2014
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
17
Semalam
53
Minggu Ini
218
Bulan Ini
627

Keseluruhan
3430250