KUALA LUMPUR, 2 Sept - Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dalam kes membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid.

James Masing yang merupakan saksi ketiga telah disoal oleh kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela selama empat jam bermula 9.45 pagi berhubung proses penilaian dan syarat kelulusan projek tanah adat Sarawak kepada Sime Darby.

Beliau mengesahkan hak membangunkan tanah adat terbabit telah diberikan kepada Sime Darby dan bukannya kepada Nature Ambience Sdn Bhd atau Vertical Drive Sdn Bhd.

Malah beliau juga mengakui bahawa surat penganugerahan dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak, Datuk Chaiti Bolhassan kepada Vertical Drive Sdn Bhd dan Nature Ambience Sdn Bhd adalah satu kesilapan dan kemungkinan telah dibuat pembetulan oleh pelabur yang sebenar.

Chaiti, yang merupakan saksi pertama, telah memberi keterangan pada Jun lalu.

Langkah pembetulan kesilapan penganugerahan dilakukan berdasarkan keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Pasukan Petugas Khas Negeri, di mana hak membangunkan tanah dianugerahkan kepada Sime Darby dan bukannya kepada mana-mana pihak yang lain.

Ahmad Zubair diwakili oleh barisan peguam bela yang diketuai Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden manakala Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais mewakili pihak pendakwaan.

Perbicaraan penuh terhadap Ahmad Zubair atas dua pertuduhan penyelewengan projek tanah adat Sarawak melibatkan kerugian RM100 juta diteruskan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Rashid Daud ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mengetepikan tuduhan ke atas beliau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac lalu, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif, sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair mengetepikan tuduhan ke atas beliau.

Pada 17 Julai 2012, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dana Sime Darby membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak, yang menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah Sime Darby membabitkan projek yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009.

 

Lampiran Tarikh
Kes Sime Darby: Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Beri Keterangan 02/09/2014
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
7
Semalam
47
Minggu Ini
305
Bulan Ini
714

Keseluruhan
3430337