KUALA LUMPUR 20 Okt. – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini mengemukakan empat cadangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan persepsi integriti terhadap badan beruniform itu.

Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, PDRM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung gejala rasuah dalam institusi terbabit dan setakat ini, PPPR berpuas hati dengan langkah yang diambil

Bagaimanapun, katanya, masih ada kelemahan dan masalah yang harus ditangani PDRM meskipun terdapat jabatan baru yang khusus menangani rasuah telah ditubuhkan.

“Selain meminta PDRM melipat-ganda usaha untuk membasmi rasuah hingga ke akar umbi. PPPR dan PDRM sendiri telah bersetuju bekerjasama untuk mengadakan Program Jabatan Angkat yang bertujuan memberi bimbingan terhadap bahagian yang bermasalah dalam institusi itu.

“PPPR turut mencadangkan agar PDRM mengkaji semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) bagi menjamin ketelusan yang mampu diyakini masyarakat,” katanya dalam sidang media sempena kunjungan hormat badan pemantau bebas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Bukit Aman hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar; Pengerusi LPPR, Puan Sri Zaitun Zawiyah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Timbalan Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah SPRM.

Pertemuan selama dua jam itu antara lain turut membincangkan bantuan yang boleh diberikan oleh panel bebas SPRM dalam meningkatkan persepsi terhadap imej PDRM.

Beliau turut berharap, bahagian disiplin dan jabatan integriti polis turut dikembangkan kepada Bahagian Hal Ehwal Dalaman yang fokus memainkan peranan dalam menangani rasuah.

Panel ini percaya bahagian ini boleh memainkan peranan yang penting bagi mengawasi dan memantau sebarang bentuk salahlaku, penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam pasukan polis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan ‘dasar pintu terbuka’ terhadap tiga badan pemantauan salah laku rasuah yang kini dilihat sedang mengawasi institusi itu secara rapat.

PPPR dan LPPR dijangka akan menerima kerjasama secara total oleh PDRM bagi memastikan setiap anggota dan pegawai polis bebas dari masalah integriti khususnya rasuah.

Ketiga-tiga badan ini dilihat akan memperbaiki dan memperkemaskan setiap kelemahan yang ada pada PDRM bagi membendung gejala rasuah yang sering dikaitkan dengan institusi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak akan menolak untuk beri kerjasama dengan badan pemantau bebas SPRM itu yang dilihat akan memberi pulangan positif yang mampu dimanfaatkan kepada PDRM.

Katanya. PDRM sentiasa menerima cadangan serta pendapat yang diberikan dalam mengukuhkan tahap integriti di kalangan anggota dan pegawai polis.

“Kami sentiasa menerima pendapat khususnya, cara memperbaiki dan memperkemaskan tindakan kita dalam menangani rasuah dalam PDRM.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada polis kerana kita sendiri sentiasa ‘on check’ dengan setiap peri laku rasuah oleh kakitangan polis,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas pertemuan bersama tiga badan berkaitan, di Bukit Aman, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abu Kassim turut bersetuju dengan tindakan PDRM bagi membuka pintu yang lebih luas supaya setiap pendekatan dan tindakan yang dilakukan badan-badan itu lebih berkesan.

SUMBER: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

Lampiran Tarikh
Panel SPRM Kemuka Empat Cadangan Kepada PDRM 21/10/2014
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
38
Semalam
53
Minggu Ini
186
Bulan Ini
595

Keseluruhan
3430218