KUALA LUMPUR, 9 Januari 2015: Seramai 150 sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlepas ke Temerloh, Pahang hari ini untuk mengambil bahagian dalam misi bantuan pascabanjir anjuran SPRM.

Misi bantuan ini akan memberi fokus ke atas aspek membersihkan tiga sekolah di Daerah Temerloh iaitu Sekolah Rendah Agama At-Taqwa, Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang dan Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang memandangkan sesi persekolahan 2015 akan bermula minggu hadapan.

Pasukan sukarelawan kali ini yang turut disertai kadet yang mengikuti program latihan asas pegawai siasatan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dilepaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada satu majlis ringkas pagi ini.‎

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua sukarelawan untuk  melaksanakan misi bantuan ini dengan niat ikhlas dari hati untuk membantu dan bukan kerana program semata-mata”  kata Abu Kassim.

Abu Kassim juga turut mengingatkan kepada sukarelawan untuk menjaga kesihatan diri.

Misi bantuan kemanusiaan ini juga menerapkan nilai kemasyarakatan selain ilmu penguatkuasaan yang ditekankan kepada pegawai kadet.

“Pegawai kadet yang pergi hari ini akan melalui satu proses nilai yang baru kerana bukan sahaja perlu untuk mahir dalam ilmu penguatkuasaan tetapi juga perlu mempunyai elemen kemanusiaan dengan niat untuk membantu,” kata beliau pada majlis yang diadakan di MACA di sini.

 Tambah beliau: “Tunjukkan SPRM ini mempunyai jiwa masyarakat dengan menghulurkan bantuan dan mendekati masyarakat.”

Misi bantuan kemanusiaan SPRM pascabanjir ini adalah antara yang dilaksanakan sebagai tanda sokongan dan membantu mangsa berikutan banjir besar yang melanda negara terutama di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Khidmat sukarelawan ini merupakan misi kedua dalam tempoh dua minggu ini.

Misi kali ini yang  dilaksanakan  selama tiga hari bermula hari ini diketuai oleh Pengarah MACA, Datuk Abdul Wahab bin Abdul Aziz.

Kata Abdul Wahab, pasukan sukarelawan akan membersihkan sekolah dan melawat ke tempat-tempat yang dilanda musibah banjir pada hari ini.

“Dan esok akan ada satu lagi pasukan dalam 70 orang kadet dan pegawai SPRM hantar bantuan ke Kuala Krai dan Temerloh secara berasingan”, tambah beliau.

Minggu lalu, warga kerja SPRM yang diketuai oleh Datuk Haji Zakaria Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) telah mengerakkan misi bantuan bagi keluarga warga kerja SPRM sendiri yang terlibat dengan banjir. 

Bantuan yang diberikan adalah dari segi barang keperluan asas, sumbangan berbentuk wang selain membersihkan rumah warga kerja SPRM yang terlibat dengan banjir di Pahang dan Kelantan. 

Kira-kira 38 buah keluarga pegawai SPRM di Pahang, Terengganu dan Kelantan berhadapan dengan musibah banjir, mengakibatkan kerugian keseluruhan dianggarkan lebih kurang RM250,000.

 

Lampiran Tarikh
SPRM Hantar Misi Bantuan Pascabanjir, Bantu Warga Sekolah‎ 9/01/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
43
Semalam
48
Minggu Ini
356
Bulan Ini
404

Keseluruhan
3430027