KUCHING, 15 Januari – Barisan Menteri Kabinet Negeri Sarawak hari ini menzahirkan komitmen kepimpinan negeri itu ke arah pentadbiran yang berintegriti dengan menandatangani Ikrar Integriti.

Kerajaan Negeri Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama menandatangani Ikrar Integriti.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengetuai Upacara Menandatangani Ikrar Integriti yang turut disertai 26 anggota Kabinet dan menteri muda pada majlis yang diadakan di Wisma Bapak Malaysia di sini, pagi ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paul Low Seng Kuan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Mustafar Ali.

Adenan yang mengetuai Kerajaan Negeri Sarawak sejak awal tahun lalu berkata, sebelum ini beliau sering ditanya mengenai kesediaan pentadbiran negeri Sarawak untuk menandatangani Ikrar Integriti.

Justeru kata beliau, ini merupakan masa yang sesuai di mana salah satu tindakan pertama yang akan dilaksanakan ialah pengisytiharan harta oleh barisan pentadbirannya.

“Ini adalah harinya di mana ikrar ini membuktikan keikhlasan dan kejujuran kami dalam menjalankan pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Mungkin ada yang menganggap ia hanya untuk menunjuk tetapi jangan menghukum kami terlalu awal kerana ini adalah tindakan pertama kami (ke arah pentadbiran berintegriti),” katanya pada sidang media selepas taklimat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) kepada anggota Kabinet negeri itu.

Menurutnya, kesemua anggota Kabinet Sarawak akan membuat tindakan pengisytiharan harta dengan menghantar data peribadi berkaitan pendapatan dan harta mereka kepadanya secepat mungkin.

Paul Low turut memuji tindakan kerajaan negeri itu dalam menyatakan komitmen terhadap integriti.

“Ia menunjukkan kekuatan politik dan komitmen kepimpinan negeri ini kerana ikrar ini umpama janji mereka kepada rakyat. Setakat ini, Sarawak merupakan negeri pertama di mana ahli Kabinet menandatangani Ikrar Integriti,” katanya.

Sementara itu, Mustafar yang turut menyambut baik tindakan Kerajaan Negeri Sarawak berkata, ia menunjukkan komitmen tertinggi kerajaan negeri dalam memastikan tadbir urus baik dalam penyampaian perkhidmatan awam, khususnya yang diterajui menteri dan ahli politik.

Ikrar Integriti ini terdiri daripada perkara berikut:

Berusaha memupuk dan mengamalkan nilai-nilai membenci rasuah;

Menutup semua ruang dan peluang yang mendedahkan kepada  gejala rasuah;

Bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika pentadbiran Kerajaan Negeri;

Bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak untuk memerangi sebarang bentuk perlakuan jenayah rasuah;

Bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menggugat integriti dan imej kementerian, jabatan dan agensi perkhidmatan awam;

Mematuhi sepenuhnya kod etika kementerian dan mengamalkan nilai-nilai murni yang berteraskan ajaran agama dalam melaksanakan tugas; dan

Melaksanakan sepenuhnya terma rujukan yang ditetapkan dalam Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus Kementerian secara bersepadu dan berterusan.

 

 

Lampiran Tarikh
Sarawak Negeri Pertama Tandatangan Ikrar Integriti 15/01/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
50
Semalam
47
Minggu Ini
145
Bulan Ini
554

Keseluruhan
3430177