MELAKA, 20 Mac - Kerajaan Negeri Melaka memperlihatkan komitmen yang berterusan bagi memerangi rasuah dengan memberi janji akan menanggung perbelanjaan seminar meningkatkan kesedaran mengenai integriti korporat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan seminar integriti korporat di Melaka setiap bulan.

Beliau mengingatkan agensi awam dan sektor swasta agar menggunakan ruang dan peluang yang ada bagi meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan budyaa berintegriti dan mengelak daripada terlibat dengan rasuah.

"Seminar ini bertujuan menjalin kerjasama bersama antara jabatan atau agensi dan kontraktor.

“Melakukan sesuatu, mesti dilakukan secara konsisten dan berterusan. SPRM dapat menganjurkan seminar seperti ini setiap bulan dan perbelanjaan akan ditanggung bersama oleh Kerajaan Negeri dan pihak kontraktor bagi melahirkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk Negeri Melaka," kata beliau ketika berucap merasmikan Seminar Kepentingan dan Amalan terbaik Ikrar Integriti Korporat (CIP) di sini, hari ini.

SPRM Melaka sehingga Mac 2015 telah mengadakan pelbagai program pencegahan manakala Program Merakyatkan SPRM di DUN Sungai Udang minggu lalu.

Katanya: “Saya lebih rela pegawai kerajaan semua sektor termasuk swasta, NGO menghadiri program- program SPRM daripada dilihat teruk apabila ditangkap oleh SPRM."

"Ini adalah komitmen bagi mencapai hasil kerja yang menepati tema Kerajaan Negeri iaitu Berkat, Tepat dan Cepat," kata beliau.

Seminar hari ini dijayakan dengan kerjasama SPRM, Kerajaan Negeri Melaka, melalui Unit Integritinya, dan Institut Pengurusan dan Integriti Melaka.

"Ini bagi menunjukkan salah satu daripada komitmen berterusan daripada Kerajaan Negeri Melaka dan jabatan agensi ke arah tadbir urus yang lebih berintegriti dan telus," kata Ketua Menteri.

Beliau turut memuji kesungguhan SPRM yang tinggi dalam memerangi rasuah selain tindakan yang berkesan.

"Dalam menjayakan dasar Merakyatkan SPRM, SPRM menunjukkan kesungguhan yang tinggi memastikan proses kerja ke arah penyampaian perkhidmatan berintegriti yang bebas dari rasuah. Malah pendekatan SPRM lebih mudah, lebih mesra dan lebih berkesan," ujar beliau lagi.

Idris turut menjelaskan bahawa seminar ini memberi kesefahaman bersama antara pembuat dasar dan pihak yang menerima perkhidmatan dan perlu konsisten.

Turut diadakan Penyerahan Inisiatif CIP dan Pelan Corruption Risk Management (CRM) oleh 21 jabatan yang telah menandatangani CIP pada 2014 kepada Ketua Menteri.

Selain itu, Forum Amalan-amalan Baik CIP dan Kepentingan Faktor Kepimpinan Di Dalam kejayaan CIP juga diadakan. Ia menampilkan Ketua Pegawai Integriti/Pengurus Integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Normalis Abd Samad; Imam 1 Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya, Hazarudin Baharudin dan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato Yusoff Akope.

Turut diadakan ialah Taklimat CIP yang disampaikan oleh Halimah Shariff dari Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM manakala taklimat Pematuhan CIP pula oleh Ketua Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Muhammad Ikram Ibrahim.

Seramai 110 peserta yang terdiri daripada ketua jabatan dan CEO syarikat-syarikat swasta yang telah dipilih dari kalangan kontraktor, yang mendapat perolehan kontrak kerja kerajaan negeri melebihi RM1 juta, hadir pada seminar ini.

Seminar ini diadakan bagi memberi kefahaman kepada jabatan dan agensi serta syarikat swasta yang telah dikenal pasti, yang akan menandatangani CIP pada tahun 2015.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar dan Pengarah SPRM Melaka, Ramli Ismail turut hadir pada majlis perasmian.

Lampiran Tarikh
Melaka Ulangi Komitmen Perangi Rasuah, Syor Seminar Integriti Setiap Bulan 20/03/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
23
Semalam
58
Minggu Ini
194
Bulan Ini
652

Keseluruhan
3442332