PUTRAJAYA, 24 Mac - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Lieutenan Komander berhubung kesalahan menggunakan invois palsu bagi tuntutan pembelian ransum segar pada tahun 2006. Panel tiga hakim yang diketuai Dato' Aziah Ali membuat keputusan sebulat suara mengekalkan hukuman penjara satu tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh ke atas Ahmad Shukry Othman, 43, pada 6 Ogos 2014. Hakim Aziah Ali berkata kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Shukry telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Panel tersebut yang turut dianggotai oleh Dato' Ahmadi Asnawi dan Dato' Zamani A. Rahim memutuskan supaya hukuman penjara dikuatkuasakan mulai hari ini. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Baker Abdullah manakala perayu diwakili peguam bela Norsham Hasan. Pada 6 Ogos 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Noorin Badaruddin menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas Ahmad Shukry dan menetapkan supaya hukuman penjara berjalan serentak bagi dua pertuduhan. Ahmad Shukry yang bertugas sebagai Pegawai Bekalan di Kapal KD Mahawangsa disabitkan bersalah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Invois Landmark Trading PTE LTD bernombor GB 67854 bernilai USD46,813.00 bertarikh 3 Jun 2006 untuk tuntutan pembelian ransum segar, yang mana Ahmad Shukry mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu. Bagi pertuduhan kedua pula Ahmad Shukry disabitkan bersalah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Invois Landmark Trading PTE LTD bernombor GB 67923 bernilai USD16,864.74 bertarikh 26 Ogos 2006 untuk tuntutan pembelian ransum segar, yang mana Ahmad Shukry juga mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu. Ahmad Shukry didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu sekitar Jun 2006 dan Ogos 2006 di atas Kapal KD Mahawangsa. Kapal KD Mahawangsa memperkukuhkan operasi pengaman Malaysia ketika krisis Timor Leste pada tahun 2006. Sebagai Pegawai Bekalan, Ahmad Shukry bertanggungjawab memastikan bekalan makanan mencukupi untuk semua pegawai tentera dan krew kapal. Beliau disabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Lampiran Tarikh
Guna Invois Palsu: Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Penjara Bekas Lieutenan Komander TLDM 24/03/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
23
Semalam
58
Minggu Ini
194
Bulan Ini
652

Keseluruhan
3442332