KUALA LUMPUR, 1 April - PAS menzahirkan komitmen akan memberi sokongan padu ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - yang dilihat akan menjadikan SPRM lebih bebas dan berwibawa. Komitmen itu dinyatakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pogram Dinner Talk Pengurusan Tertinggi SPRM bersama Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Terengganu, yang berlangsung di Bangunan Parlimen malam tadi. "Kami 21 Ahli Parlimen PAS akan sokong (pindaan Perlembagaan), insya-Allah," kata Abdul Hadi ketika memberi respons kepada penerangan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull yang mewakili Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Abdul Hadi berkata, undang-undang perlu diperkukuhkan bagi memperkasakan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah. Katanya, ‎SPRM perlu diberi kebebasan untuk bertindak dalam melaksanakan peranannya dan Ahli-ahli Parlimen juga perlu bertanggungjawab mengemukakan cadangan bagi meningkatkan martabat SPRM. Jelas beliau, PAS sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dan membuka pintu kepada SPRM, termasuk semasa memimpin kerajaan negeri, untuk menyiasat jenayah rasuah termasuk dalam kalangan anggota parti itu sendiri. "Kita tidak mahu anggota kita yang tidak betul dan tidak jujur serta tidak membawa kebaikan. Tidak boleh melindungi walaupun orang yang paling rapat dengan kita," kata Datuk Seri Abdul Hadi. Dalam pada itu, Dato' Sri Mohd Shukri berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Dato Sri Mohd Shukri berkata, ‎Pe‎ngurusan Tertinggi SPRM berpandangan bahawa wakil rakyat merupakan kumpulan, yang dipilih oleh rakyat, dapat membantu SPRM dalam perkara ini. Katanya, SPRM memerlukan sokongan dan komitmen bagi memastikan pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu penggubalan undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya secara berperlembagaan berjaya. "PAS sealiran dengan SPRM dalam usaha mencegah rasuah. Oleh yang demikian, sokongan padu daripada ahli pemimpin PAS amat perlu bagi memastikan usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa diteruskan selari dengan komitmen SPRM sendiri. “SPRM juga berharap pihak lain juga turut menyokong seperti yang dizahirkan oleh PAS dan berharap komitmen padu daripada wakil rakyat khususnya Ahli-ahli Parlimen agar menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan apabila dibawa ke Parlimen kelak,” katanya. Selain itu, syor telah dikemukakan oleh meminda Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta mewujudkan peruntukan liabiliti korporat. Bagaimanapun syor ini tidak memerlukan pindaan Perlembagaan. Tambah beliau, ‎SPRM akan memperbanyakkan interaksi dengan pemimpin-pemimpin politik termasuk parti-parti lain selepas ini bagi mencapai objektif yang disasarkan.

Dato' Sri Mohd Shukri juga berkata, pindaan tersebut amat penting bagi meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM. Katanya, peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM bertujuan bagi membolehkan badan itu melantik dan memecat pegawainya secara bebas tanpa melalui proses biasa yang dilalui penjawat awam iaitu menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pindaan itu akan memperuntukkan Ketua Pesuruhjaya dilantik secara bebas melalui Perlembagaan dan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

‎SPRM yang meletakkan pendekatan Merakyatkan SPRM kini memfokus strategi menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik bagi menjana sokongan padu yang dapat menjayakan usaha memerangi rasuah. Majlis ini diadakan sejajar matlamat Pengurusan Tertinggi SPRM bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap SPRM. Seramai 10 Ahli Parlimen dan 15 ADUN PAS di Terengganu menghadiri program malam tadi. Turut hadir Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
4
Semalam
47
Minggu Ini
320
Bulan Ini
920

Keseluruhan
3432083