KOTA SAMARAHAN, 2 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk menawarkan bantuan dalam bentuk pembangunan kapasiti kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Hj Zakaria Jaffar. “SPRM bersedia menawarkan pembangunan kapasiti warga kerja universiti ini melalui siri latihan kendalian Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA),” kata Dato Zakaria dalam ucapannya pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersempena sambutan Hari Integriti anjuran UNIMAS di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, UNIMAS hari ini.

“Siri latihan ini boleh dianjurkan menggunakan modul-modul yang dirangka khas mengikut keperluan dan kehendak UNIMAS,” katanya. Sementara itu, Dato Zakaria turut memuji usaha UNIMAS yang berani menzahirkan komitmennya dalam usaha mengukuhkan integriti dan membantu usaha pencegahan rasuah oleh Suruhanjaya ini. UNIMAS hari ini menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang keempat di Malaysia menandatangani ikrar integriti. Majlis ini merupakan salah satu usaha pihak universiti untuk mewujudkan warga kerja berintegriti di samping untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Alfred Jabu Anak Numpang berkata, inisiatif menandatangani CIP oleh UNIMAS pada hari ini merupakan satu usaha yang sangat dibanggakan. “Ia seiring dengan inisiatif UNIMAS sebagai sebuah universiti awam yang mendokong objektif memerangi rasuah serta bagi memastikan penghayatan nilai integriti di kalangan warganya. “Dengan wujudnya inisiatif ini, elemen pertama menangani ketirisan dalam usaha menjauhi rasuah akan dapat dibanteras sepenuhnya supaya agenda transformasi negara dapat dicapain," kata Alfred. Alfred yang hadir mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut menyaksikan sesi lafaz Ikrar Integriti warga UNIMAS serta upacara penyerahan Ikrar berkenaan oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi kepada Dato Zakaria Jaffar. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Dr. Hatta Solhi; Ahli Lembaga Pengarah UNIMAS, Datu Hajjah Jabidah Monseri; Pengarah SPRM Sarawak, Badrul Shah Norman; Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan, Pengarah, Ketua Bahagian dan pegawai kanan UNIMAS dan SPRM. Bersempena dengan Hari Integriti UNIMAS ini, turut diadakan adalah pelancaran program ke arah pemantapan integriti dalam pengurusan kewangan serta forum integriti yang menampilkan barisan ahli panel di kalangan professional SPRM, Jabatan Audit Negara, Institut Integriti Malaysia dan HIKMAH.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
12
Semalam
51
Minggu Ini
290
Bulan Ini
748

Keseluruhan
3442428