[Kenyataan Media] KONVOKESYEN Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) merupakan program tahunan dianjurkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bagi memberi pentauliahan kepada pegawai-pegawai yang mengikuti Program CeIO.

Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Kali Keempat berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini. Ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang juga Penasihat Program CeIO.

Seramai 151 peserta telah mengikuti Program CeIO pada tahun 2014. Daripada jumlah itu, seramai 33 orang adalah peserta Program CeIO Siri Keenam; 30 orang (Program CeIO Siri Ketujuh) dan 30 orang (Program CeIO Siri 8) manakala 43 peserta mengikuti Program CeIO Eksekutif Siri 1 dan 15 peserta lagi mengikuti CeIO Antarabangsa Siri 2.

Dari tahun 2010 hingga 2014 Program CeIO telah diadakan sebanyak 11 siri termasuk Program CeIO Eksekutif dan dua CeIO Antarabangsa. Penyertaan program CeIO ini melibatkan pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta.

Program CeIO telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk masyarakat antarabangsa. Ini terbukti dengan penyertaan 22 peserta dari pelbagai negara seperti dari Anti-Corruption Commission Zambia, Fiji Independent Commission Against Corruption, Anti-Corruption Commission of Maldives, Biro Mencegah Rasuah Brunei, Commission on Combating Corruption of Azerbaijan dan Corrupt Practices Investigation Bureau Singapore.

MACA yang telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini telah membuktikan kepercayaan dan keyakinan kerajaan negara asing terhadap keupayaannya. Justeru, SPRM dan Malaysia dilihat mampu membimbing mereka memantapkan lagi usaha-usaha peningkatan tahap integriti. Ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada program CeIO kerana penyertaan peserta luar negara itu mewakili negara-negara meliputi rantau Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik, Afrika, Timur Tengah, Asia Selatan dan Asia Tengah.

Program CeIO disediakan untuk melahirkan CeIO di agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat. Ia diharap akan bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah yang kompeten dalam aspek-aspek berikut: (i) Pengurusan integriti; (ii) Perundangan dan peraturan; (iii) Pematuhan dan pemantauan; dan (iv) Pembentukan pelan integriti organisasi.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, barisan CeIO menjadi harapan negara sebagai pemangkin bagi organisasi memupuk budaya kerja berintegriti dengan efisien.

Selain itu menurut beliau, Program CeIO telah dijadikan pelopor bagi negara luar mengguna pakai model Pelan Integriti Nasional Malaysia.

“Satu pengiktirafan buat Malaysia apabila model Pelan Integriti Nasional Malaysia menjadi contoh dan inspirasi dalam pembentukan Pelan Integriti Nasional Negara Maldives hasil penyertaan dalam Program CeIO tahun lalu di MACA,” kata beliau.

Jelas beliau, keberkesanan Program CeIO juga terserlah apabila peserta dari Anti-Corruption Commission Zambia telah membangunkan model pengurusan integriti selain membuka perspektif baru dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan etika dan integriti di sektor kerajaan dan korporat di negara itu.

Malahan penyertaan dari luar negara juga meningkat untuk mengikuti program CeIO, yang merupakan satu-satunya di rantau ini.

“Peningkatan sebanyak 45% penyertaan peserta luar negara ini memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan kerajaan negara asing terhadap keupayaan MACA dan Malaysia membimbing mereka memantapkan lagi usaha-usaha pengukuhan tahap integriti,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam ucapannya menegaskan, kerajaan sangat komited dalam Program CeIO bagi melahirkan Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah.

“Kerajaan menaruh harapan yang tinggi ke atas CeIO untuk memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi dan bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah dan menjadi pakar dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa; pembangunan integriti; dan menjadi pemangkin dalam organisasi bagi memupuk budaya kerja berintegriti dalam sektor awam dan swasta,” tegas beliau.

Sehingga kini, seramai 298 peserta yang merupakan warga dari 158 organisasi di Malaysia merangkumi sektor kerajaan, agensi swasta dan GLC telah ditauliahkan sebagai CeIO.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ahli-Ahli Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah, Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan dan Swasta serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Hj Zakaria Jaffar.

Lampiran Tarikh
KSN: CeIO Pemangkin Pemantapan Budaya Berintegriti 10/04/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
3
Semalam
47
Minggu Ini
319
Bulan Ini
919

Keseluruhan
3432082