[Kenyataan Media] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Kelantan yang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah kecurian balak di negeri tersebut.

SPRM percaya langkah Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes kecurian balak di Kelantan, yang akan disertai oleh beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuk SPRM sendiri serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG), Jabatan Perhutanan Negeri dan Polis, merupakan satu perkembangan yang baik.

Justeru, SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memerangi kegiatan rasuah dalam aktiviti pembalakan.

SPRM menyambut baik dan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan memandangkan kegiatan rasuah di sektor pembalakan menyebabkan negara mengalami kerugian dari segi kutipan cukai dan lebih penting lagi kerana kegiatan itu mengakibatkan kemusnahan alam sekitar dalam jangka pendek dan jangka panjang.

Selari dengan pendekatan Merakyatkan SPRM, SPRM juga berharap orang ramai turut memberi kerjasama dengan membuat laporan kepada SPRM sekiranya mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan ini serupa dengan tindakan yang diperlihatkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di mana susulan Ops Tukul yang dijalankan pada tahun lalu telah berjaya membuka mata banyak pihak untuk memberi kerjasama dan bertindak lebih tegas dalam menangani isu berkaitan pembalakan haram.

Menerusi Ops Tukul, SPRM telah menahan 57 orang manakala sebanyak 82,327 meter padu batang balak bernilai RM41 juta berjaya disita oleh Jabatan Perhutanan Sarawak. Ini merupakan satu pencapaian yang cemerlang dan SPRM komited untuk meneruskan inisiatif pencegahan rasuah secara lebih berkesan pada masa akan datang.

SPRM yakin hasil kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, jenayah rasuah tidak kira dalam sektor mana pun dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.

DATUK MUSTAFAR ALI TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA
10 APRIL 2015

Lampiran Tarikh
SPRM Sambut Baik Langkah Kerajaan Negeri Kelantan Tubuh Jawatankuasa Tangani Kes Kecurian Balak 10/04/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
14
Semalam
51
Minggu Ini
292
Bulan Ini
750

Keseluruhan
3442430